September 19, 2024

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – UMNO kekal menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun beliau juga tidak menolak sebarang kolaborasi bersama 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menggelakkan sebarang pertindihan kerusi.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang kita harus menggunakan lambang dacing BN namun kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama di dalam menggambit dukungan rakyat.

“Ini mesti dilakukan daripada sekarang kerana kita tidak mahu bahawa keserasian itu hanya diwujudkan ketika pilihan raya sebaliknya ia mesti dibina daripada sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, petang tadi.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut memaklumkan bahawa UMNO selepas ini akan mengadaptasi sentimen politik setempat dalam menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau ia berlandaskan kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang menggunakan elemen tersebut.

“Jika ada pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri atau pilihan raya umum sekalipun pendekatan-pendekatan yang digunakan mesti berbeda mengikut landskap politik setempat.

“Kita mahu supaya kepimpinan UMNO di semua peringkat mengambil ibrah dari kemenangan kita di negeri di mana kerusi yang kita kalah kita telah dapat menebus semula negeri yang dikuasai oleh pembangkang pun tidak dapat mempertahankan kerusi itu,” ujar beliau. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *