September 19, 2024

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa syukur ruangan PENTalk yang diperkenalkan julung kali pada tahun ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 benar-benar memberi manfaat apabila dapat berkongsi dengan sebaiknya kejayaan serta pelbagai penerangan lain daripada pemimpin pelbagai peringkat.

Menurut beliau kehadiran Naib-naib Presiden UMNO yang merupakan menteri kabinet serta beberapa menteri lain iaitu menteri besar dan ketua menteri berkongsi kejayaan masing-masing menerajui kementerian dan negeri memberi pelbagai input untuk dikongsi sebaiknya.

“Dahulu kita buat Town Hall. Tahun ni kita buat PENTalk. Sebelum ini kita selalu tengok masa Perhimpunan Agung UMNO, lepas habis program ucapan penutup, kita nakkan Naib-naib Presiden berucap… kadang-kadang tak cukup masa kepimpinan-kepimpinan kita.

“Jadi pada hari ni dengan adanya PENTalk, kita bagi platform kepada semua Naib-naib Presiden kita untuk memberikan sedikit cerita tentang kejayaan mereka menerajui kementerian-kementerian dan juga negeri-negeri.

“Alhamdulillah, saya minta maaf bagi pihak Menteri Besar Johor dan Menteri Besar Pahang sebab ada mesyuarat Exco. Jadi mereka berdua tak dapat datang. Datuk Tengku Zafrul pun tak dapat sebab beliau berada di New Delhi bersama Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada akhir sesi PENTalk.

Program PENTalk anjuran Penerangan UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO turut membariskan beberapa panel termasuklah menteri kabinet, menteri besar serta ketua menteri.

Azalina seterusnya menambah, apa yang dikongsikan menerusi PENTalk itu dapat dikonsgikan dalam media-media sosial dan sebagainya tentang kejayaan UMNO hari ini sebagai parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Apa yang penting di sini ialah saya berharap, saya beritahu kepada pengerusi tetap dan timbalan, kalau boleh bakal juru cakap semuanya akan menggunakan intipati daripada pembentangan menteri dan ketua menteri serta menteri besar tentang kejayaan yang dicapai oleh kita sebagai satu parti walaupun dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebenarnya, sejujurnya…saya kalau nak cakap tentang bahagian undang-undang, sejujurnya bahawa undang-undang ini sebenarnya bukan satu kementerian tapi satu bahagian.

“Saya tak jaga Peguam Negara, saya tak jaga Ketua Hakim Negara tetapi yang lebih penting ialah pembuatan undang-undang di Parlimen. Sebab itu kita tengok macam-macam undang-undang yang kita buat untuk maslahah umum,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Undang-undang dan Reformasi Institusi.

Begitu juga Azalina menyeru semua ahli terus menggiatkan usaha dalam menguasai media sosial terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

“Yang penting kita meneruskan kejayaan kita dalam bidang sosial media sebagai platform baru kepada persiapan PRU ke-16.

“Saya nak ucap tahniah kepada semua negeri-negeri yang telah mewujudkan platform sosial media yang begitu agresif, kreatif dan yang paling penting saya tengok ialah kejayaan kita menggunakan sosial media untuk mengutarakan propaganda politik kita dan juga untuk menangkis propaganda politik musuh-musuh politik kita,” tambahnya.- UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *