December 24, 2024

GEORGETOWN: Puluhan lipas ditemukan dalam rak simpanan bahan makanan menjadi antara punca beberapa gerai di medan selera New World Park, Jalan Burma di sini, diarah tutup selama 14 hari. 

Premis lain yang diperiksa pula didapati pengendali makanan menggunakan tuala pengelap dan dapur ‘berkerak’ selain peralatan masak yang berjelaga serta hitam.

Malah ada peniaga lari meninggalkan gerai tanpa menutup api di dapur selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa. 

Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Muhammad Firdaus Abdul Halim berkata dua daripada 28 premis yang diperiksa diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. 

Sebanyak 21 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan kepada peniaga. 

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti tifoid dan tidak menjalani latihan pengendali makanan. 

“Kita juga mengesan premis yang menyimpan ramuan makanan melebihi tarikh luput dan persekitaran yang tidak bersih serta kotor,” katanya. 

Terdahulu, o perasi berkenaan turut membabitkan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Pada pemeriksaan itu juga, peti sejuk di beberapa gerai turut didapati diletakkan dengan pelbagai bahan makanan yang dikhuatiri berlaku pencemaran silang. 

Pegawai penguat kuasa KPDN turut memeriksa dan menerangkan kepada pemilik premis mengenai penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG). 

Menurut Muhammad Firdaus, keseluruhan kompaun adalah berjumlah RM6,900.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *