September 19, 2024

Shah Alam: Seorang perempuan warga Myanmar ditemukan mati dengan kesan tikaman pada perut di dapur rumahnya di Seksyen 25 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada wanita tempatan yang juga jiran mangsa kira-kira 5.49 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang semalam, ketika mangsa memasak di rumah teres sewa mereka, manakala suaminya di tempat kerja.

“Mangsa bergelut dengan suspek dan ditikam dengan senjata tajam. Polis menemukan beberapa kesan tikaman pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis berjaya menangkap lelaki berusia 20 tahun yang juga anak sulung mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian, kira-kira 7.30 malam tadi.

“Polis turut menjumpai pisau yang digunakan di tempat kejadian. 

“Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana asyik memarahinya disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan bermula hari ini hingga 27 Ogos bagi siasatan kes ini. 

“Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditekup dan kesan tikaman di perut.

“Lapan individu sudah diambil keterangan. Siasatan dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *