December 22, 2024

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan perbualan empat individu dipercayai berkaitan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman video terbabit dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Pada masa yang sama, salah seorang individu yang dipercayai terbabit dalam video itu juga sudah membuat laporan polis hari ini di Melaka.

“Polis akan memanggil individu lain yang terbabit untuk membantu siasatan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, JSJN sedang menjalankan risikan dan penelitian terhadap perbualan mereka yang didakwa berkaitan dadah dan objek ditunjukkan semasa siaran langsung berkenaan yang dikatakan bahan terlarang itu.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan perbualan empat individu dipercayai remaja yang dikatakan berkaitan pengambilan dadah tular di media sosial hari ini.

Dalam rakaman berdurasi 53 saat itu, dua daripada mereka turut menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar didakwa bahan terlarang dan satu botol air didakwa peralatan menghisap dadah.

Rakaman video yang ditonton lebih 20,000 pengguna media sosial dan dikongsi lebih 10,000 akaun itu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang meminta PDRM supaya menjalankan siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *