December 24, 2024

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira terkejut dakwaan sedang dipikat lelaki berstatus Datuk seperti yang diperkatakan netizen, baru-baru ini.

Menafikan spekulasi bertebaran, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi menegaskan individu yang didakwa menggunakan nama Datuk H itu tidak pernah wujud dalam dirinya. 

“Sudah tentu saya terkejut kerana tak tahu apa-apa. Datuk H tak wujud.

“Saya tidak tahu mana datangnya sumber sebab saya memang tidak mengenali siapa-siapa.

“Kalau dulu mungkin saya nak elak, tapi sekarang saya sudah tidak mahu lagi menipu.

“Untuk melenyapkan cerita ini, saya kena bersikap jujur,” katanya ditemui pada sidang media drama bersiri, Jangan Tinggal Abang Dek di Sentul, di sini, petang tadi.

Selain Adira, drama arahan Amor Rizan itu turut menampilkan lakonan hebat Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Elly Mazlein, Elly Suriaty, Fathia Latiff, Alya Iman dan ramai lagi,

Drama terbitan Karya TV itu dapat di saksi menerusi platform media sosial produksi terbabit setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Ditanya apakah reaksi Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red berhubung gosip itu, penyanyi Pujaan Hati itu berkata, bekas suaminya enggan mengambil peduli kerana dia tahu cerita tidak benar.

“Dia tahu dan tak kisah sebab tahu hanya dia sahaja di hati saya,” ungkap Adira.

Diusik dengan pertanyaan, adakah benar sedang menyemai cinta dan bakal kembali rujuk, Adira hanya mengharapkan doa baik-baik.

“Doakan yang baik-baik. Saya aminkan. Saya tidak mahu cakap lebih-lebih,” ungkap Adira ringkas.

Gosip didekati Datuk H timbul selepas Adnan menerima komen warganet yang mendakwa Adira sedang dipikat oleh seseorang, namun tidak menyatakan identiti sebenar individu tersebut.

Terdahulu, pada 23 April lalu, Adnan menceraikan Adira yang juga isteri kedua dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor.

Imbas kembali, Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. 

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *