September 19, 2024

Timbalan Speaker Pahang Lee Chin Chen menggesa agar gelaran “Tan Sri” yang diberikan kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ditarik balik.

Menurut Lee, ini kerana kenyataan pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang didakwa memperlekehkan peranan sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dalam pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), telah mengelirukan rakyat. .

“Kenyataan terbaru beliau (Muhyiddin) yang mendakwa bahawa kenyataan beliau di ceramah PRK Nenggiri tersebut adalah berasaskan fakta dan beliau tidak bersalah dalam menuduh Agong tidak melantiknya sebagai perdana menteri walaupun kononnya mempunyai majoriti yang mencukupi, adalah satu lagi kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai. 

“Kenyataan Muhyiddin bukan sahaja mencabar keputusan Agong tetapi juga cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Gelaran ‘Tan Sri’ adalah satu penghormatan yang tinggi, dan ia hanya layak diberikan kepada mereka yang benar-benar menjunjung nilai-nilai yang mulia dan menghormati asas-asas kenegaraan kita,” kata Lee.

Semasa berucap dalam ceramah PRK Nenggiri, Muhyiddin mempertikaikan alasan dia tidak dijemput oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, meski menurutnya dia mempunyai sokongan yang cukup.

Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menggesa polis untuk bertindak tegas terhadap presiden Bersatu itu.

Mengulas lanjut, Lee berkata sebagai pemimpin yang pernah memegang jawatan kanan kerajaan, Muhyiddin harus menunjukkan contoh dan menghormati prinsip perlembagaan.

“Malangnya, beliau memilih untuk menyebarkan maklumat yang salah dan mengelirukan, sekaligus membuktikan bahawa beliau

tidak layak memegang gelaran tertinggi negara.

“Tindakan Muhyiddin ini bukan sahaja mencemar institusi diraja tetapi juga berpotensi menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan. 

“Saya menggesa agar gelaran ‘Tan Sri’ beliau ditarik balik sebagai satu tindakan tegas untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara kita,” kata Lee.

Muhyiddin dikurniakan gelaran Tan Sri pada 1988, oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *