December 22, 2024

Seorang ahli politik kanan Sabah meramalkan, Muhyiddin Yassin tidak akan menyahut cabaran sesiapa untuk mendedahkan siapa 115 ahli parlimen yang didakwa berada di belakangnya untuk menjadi perdana menteri pada 2022 lalu.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, mendakwa ketika kerajaan belum dapat dibentuk dan perdana menteri masih jadi tanda tanya selepas PRU ke-15 lalu, Muhyiddin sekadar membuat andaian dia memiliki jumlah sokongan majoriti di parlimen. 

Justeru, dakwa Salleh, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu itu tidak akan berani mendedahkan nama-nama ahli parlimen yang dianggap menyokongnya menjadi perdana menteri.

Menganggap langkah tersebut berisiko tinggi, Salleh yang juga Adun Usukan berpendapat ada kemungkinan kredibilitinya akan musnah.

“Jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 ahli parlimen tersebut, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan ahli parlimen terbabit tidak akan mahu mengesahkan. 

“Maka pihak PN akan tolak beliau dari jawatan pengerusi untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Puad lontar cabaran

Terdahulu ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, mencabar Muhyiddin agar mendedahkan siapa 115 ahli parlimen yang didakwanya menyokong agar dia dilantik sebagai perdana menteri selepas PRU ke-15 berakhir pada 2022.

Hal itu kerana, kata Mohd Puad, Muhyiddin mempertahankan kenyataan kontroversinya mengenai peristiwa pasca-PRU lalu yang turut melibatkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Kata Mohd Puad, kalau benar Muhyiddin sekadar menyatakan “fakta” berhubung peristiwa tersebut – dan bukannya menghina Sultan Pahang – identiti 115 ahli parlimen tersebut perlu didedahkan.

“Kalau fakta, saya cabar Muhyiddin dedahkan nama 115 ahli parlimen yang dia dakwa menyokongnya sebagai PMX. Jangan syok sendiri,” katanya.

Muhyiddin kini disiasat pihak berkuasa selepas polis menerima kira-kira 30 laporan yang mengaitkan nama bekas perdana menteri itu dengan isu 3R.

Ia terkait ucapan dibuat Muhyiddin semasa berkempen untuk PN di Nenggiri baru-baru ini. 

Ahli Parlimen Pagoh itu semalam memberitahu, dia tidak berniat untuk menghina institusi raja-raja Melayu atau menghasut sebaliknya hanya menyatakan “fakta”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *