December 22, 2024

Alor Gajah: Penyanyi dan pelakon, Nur Nabila Mohd Razali, 31, dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas empat pertuduhan membenarkan dan memandu kereta dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, Januari lalu.

Majistret Dr Teoh Shu Yee memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, selaku orang kena saman (OKS) dan mewakili Nur Nabila serta mensabitkan mereka seperti pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Nur Nabila sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu dengan LKM tamat tempoh pada 29 September lalu dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Januari lalu, kira-kira 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin.

Sementara itu, Shamsidah didakwa menggunakan kenderaan berkenaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan di tempat sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 90(1) APJ 1987. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120 atau penjara sehari jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan, keseluruhan denda RM480. OKS membayar denda berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *