December 22, 2024

LOKASI kejadian wanita warga emas maut ditikam di kepala selepas cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak di sebuah rumah di Pekan Darat,Kepala Batas. FOTO Arkib NSTP

Kepala Batas: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes wanita warga emas yang maut ditikam anak saudara lelakinya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintendan C Tharmalingam berkata, susulan itu pihaknya menunggu arahan lanjut sama ada suspek berusia 43 tahun akan dituduh atau sebaliknya.

Menurutnya, suspek yang direman selama tujuh hari hingga Rabu ini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Bagaimanapun, kita sudah serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada pihak PPN hari ini dan sekarang kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek yang juga penganggur dikatakan mempunyai masalah mental dan ujian air kencingnya juga negatif dadah.

Media sebelum ini melaporkan wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting selepas dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak di sebuah rumah di Pekan Darat, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Ibu suspek pula dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan selepas dilaporkan mengalami kecederaan sebelum dibenarkan pulang semalam.

Sejurus kejadian itu juga suspek dikatakan mengamuk dengan memecahkan cermin rumah saudaranya sebelum orang ramai menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *