December 22, 2024

Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mesra disapa Jokowi hari ini, dijangka membuat rombakan Kabinet, beberapa minggu sebelum peralihan kuasa pentadbiran republik itu kepada penggantinya, Prabowo Subianto yang juga Menteri Pertahanan.

Koordinator Kakitangan Khas kepada Presiden, Ari Dwipayana, berkata Jokowi bakal menyaksikan majlis angkat sumpah menteri baharu bagi portfolio undang-undang dan hak asasi manusia; tenaga dan sumber mineral serta pelaburan, pagi ini.

Selain itu, katanya, Jokowi akan melantik ketua bagi agensi yang baharu diwujudkan masing-masing makanan dan ubat serta pemakanan nasional.

“Pelantikan menteri dan ketua agensi ini perlu bagi memudahkan peralihan pentadbiran kerajaan yang lancar, teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Agensi pemakanan nasional diwujudkan, bertujuan menyokong janji utama kempen Prabowo yang bernilai berbilion dolar untuk memberi makanan percuma kepada murid di sekolah.

Jokowi yang dijadual mengundurkan diri pada Oktober ini, meninggalkan rekod pentadbiran cemerlang susulan prestasi ekonomi mencatatkan pertumbuhan konsisten selepas pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Charta Politika, Yunarto Wijaya, berkata menteri baharu itu akan muncul sebagai ‘kem Prabowo’ yang diluluskan Jokowi.

“Selain bagi tujuan peralihan kuasa, mungkin ada unsur politik lain yang terbabit,” katanya.

Bercakap pada ucapan negara terakhirnya minggu lalu, Jokowi memuji rekod pentadbiran diterajuinya dalam ekonomi, pembangunan dan pembinaan infrastruktur.

Beliau menerajui pentadbiran Indonesia selama dua penggal selepas dua kali menewaskan Prabowo pada pilihan raya 2014 dan 2019.

Kemenangan Prabowo dan anak lelaki sulung Jokowi yang bertanding sebagai calon Timbalan Presiden pada pilihan raya baru-baru ini, mengundang tuduhan berkaitan nepotisme.

Jumlah undian dimenangi Prabowo melonjak susulan sokongan Jokowi dan anaknya, selain beliau berjanji meneruskan dasar ekonomi yang popular.

Namun, proses pembinaan projek legasi utama Jokowi iaitu ibu negara baharu Indonesia yang AS$32 bilion di pulau Borneo berdepan masalah kelewatan dan isu pendanaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *