December 22, 2024

SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menyiasat laporan seorang guru agama di negeri itu mengeluarkan komen yang merendah-rendahkan Orang Asli di media sosial.

Pemangku Pengarah JPNS Putra Hashim berkata siasatan dilaksanakan di bawah Subperaturan 19(1)(a) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkaitan pernyataan awam.

Peraturan itu menyatakan bahawa pegawai awam tidak boleh secara lisan atau bertulis atau apa-apa cara membuat penyataan yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan kerajaan tentang apa-apa isu, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes itu juga akan dirujuk pada Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 11 Tahun 2023 Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.

Putra berkata pemantauan akan dilaksanakan terhadap guru wanita terbabit dan pelaporan akan dibuat oleh Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPNS.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar komen seorang guru wanita yang menyamakan penyokong Barisan Nasional dan Umno dengan masyarakat Orang Asli selepas PRK Nenggiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *