December 25, 2024

Tertuduh, Mohamad Ferdaus Mashud, 46, ketika dibawa menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini

PETALING JAYA: Seorang ejen pengiklanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh dua wanita dalam kejadian di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Jalan SS 5A/10 di sini pada 9 Ogos lalu. 

Tertuduh, Mohamad Ferdaus Mashud, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Noor dan minta dibicarakan. 

“Faham. Tidak mengaku bersalah,” kata yang dilihat memakai baju kemeja polo berwarna jingga serta berseluar denim biru muda. 

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa cuba membunuh seorang jurujual wanita berusia 26 tahun serta guru sekolah agama wanita berusia 52 tahun dengan mencederakan kedua-dua mangsa dengan objek tajam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Surau AL-Ehsaniah Ahmadiah Jalan SS 5A/10 di di sini pukul 1.30 petang pada 9 Ogos lalu. 

Oleh yang demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya KS Rinisha Priyya tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh adalah serius.

“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan terhadap tertuduh, pihak pendakwaan memohon supaya jaminan ditetapkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan. 

“Berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis dan pasport (tertuduh) diserahkan kepada mahkamah,” katanya. 

Sementara itu, peguam, Kailash Sharma, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan perlu menanggung lima anak dan keluarga, selain tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri. 

“Dalam kes ini, kami membawa dua orang yang boleh menjadi penjamin iaitu bekas isteri serta adik kandung OKT (orang kena tuduh). Kami bersedia untuk memenuhi segala syarat tambahan dan jumlah jaminan. 

“Namun jaminan RM50,000 ditawarkan pendakwaan terlampau tinggi untuk anak guam dan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukan bersifat menghukum,” katanya.

“Tertuduh juga sedia patuh dengan syarat-syarat jaminan mahkamah termasuk pasport diserahkan. Dalam kes ini tertuduh belum lagi didapati bersalah sehingga dibuktikan mahkamah,” kata peguam itu. 

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Noor Ruzilawati membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan. 

“Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya. 

Mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini sebagai sebutan semula kes. 

Terdahulu, suspek direman selama tujuh hari bermula 13 Ogos lalu selepas ditahan bersama kenalannya berusia 55 tahun di sebuah lokasi di Kajang. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang 9 Ogos lalu, mangsa seorang wanita berusia 20-an yang juga jurujual telefon bimbit cedera di bahagian perut selepas diserang suspek di dalam tandas wanita di surau berkenaan. 

Seorang lagi wanita yang juga guru besar cedera di bahagian lengan selepas dilibas suspek ketika cuba membantu mangsa. 

Suspek yang bersenjatakan pisau kemudian bertindak melarikan diri dengan memandu sebuah kenderaan mewah keluar dari lokasi kejadian. 

Semakan polis mendapati dia mempunyai enam rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan kes samun dan curi kenderaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *