September 19, 2024

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah cacat.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika memulakan hujahan pembelaan, berkata tuduhan berkenaan adalah cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan terutamanya membabitkan empat pertuduhan utama, seterusnya mengakibatkan ia tidak jelas.

Beliau berkata, pihak pembelaan mengemukakan hujahan membabitkan sejumlah 2,500 muka surat dalam prosiding berkenaan.

Katanya, ia berikutan terdapat bukti yang terlalu banyak yang mana mereka tidak boleh berkompromi, bagi menunjukkan mengapa mahkamah perlu menimbangkan hujahan pembelaan secara menyeluruh.

Peguam kanan itu turut memohon maaf kepada mahkamah kerana pihaknya tidak boleh meringkaskan hujahan berkenaan kerana terlalu banyak perkara yang hendak dinyatakan.

Pada 30 Mei lalu, pendakwaan akhirnya menutup kes selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun. Prosiding perbicaraan kes itu berlangsung selama 235 hari.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *