December 22, 2024

KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Elizad dan Amar Baharin teruk ‘dibantai’ netizen yang tidak berkenan melihat babak bersentuhan seperti tular dalam media sosial.

Rata-rata netizen berpendapat, Siti Elizad mahupun Amar perlu menjaga batasan kerana status sudah berkahwin.

Tidak hanya setakat itu, netizen turut menuding jari kepada Siti Elizad kerana menganggap perkara itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pelakon sudah berhijab.

Siti Elizad atau nama sebenarnya, Siti Elizad Mohd Sharifuddin berkata, awalnya, dia memang tak tahu apa-apa.

“Selalunya kalau saya muat naik apa sahaja hantaran dalam media sosial, saya hanya akan baca dan jawab komen ditinggalkan pada 10 minit awal sahaja. 

“Jadi, saya memang tak tahu pun kena kecam hinggalah ada wartawan yang bertanya dan menghantar video kepada saya.

“Kalau bercakap daripada pengalaman dan usia semakin meningkat, saya sebenarnya berlapang dada dengan teguran diberikan. Kadang-kadang, saya tak perasan apa yang dilakukan salah hingga ada yang menegur. 

“Dalam soal ini, saya akui terlepas pandang disebabkan terlalu menghayati watak. Kalau bekerja, saya memang akan ‘all out’ dan mahu berikan yang terbaik. 

“Secara kebetulan, saya sudah lama tak berlakon disebabkan sibuk di konti radio. Jadi, bila buat ‘comeback’, rasa teruja lebih sedikit,” katanya.

Mengulas apakah komen suami berhubung isu babak berkenaan, Siti Elizad berkata, suaminya tak aktif dalam media sosial.

“Bila kontroversi timbul, saya perlu membuat penjelasan kepadanya berhubung apa yang terjadi. 

“Suami berpesan, sebagai isteri, saya kenalah pandai jaga diri dan status.

“Ia bukanlah gimik. Kalau sesiapa mengenali saya, tentu tahu saya bukanlah jenis nak buat perkara sedemikian demi publisiti. 

“Seperti dikatakan, saya memang terlepas pandang. Saya pun baru setahun dua berhijab. Ilmu masih cetek dan perlu banyak belajar. Saya tak boleh nak berubah secara drastik,” katanya.

Tambahnya, dia ada bertemu Amar dan minta maaf kepadanya. Amar pun sudah berkahwin dan tak mahu kontroversi tercetus memberi kesan kepada rumah tangganya.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai peringatan daripada Allah, tapi disampaikan melalui netizen. 

“Justeru, saya kena lebih berhati-hati kerana ada banyak lagi babak belum selesai menjalani penggambaran. Kenalah beringat bila nak lakonkan sesuatu babak supaya pisang tidak berubah dua kali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *