September 19, 2024

Tiada insiden cubaan culik seperti yang tular di media sosial membabitkan pemandu e-hailing dan penumpang wanita, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, perkara itu sebaliknya hanyalah salah faham apabila pemandu mengubah laluan tanpa memaklumkan penumpangnya.

Beliau berkata, penumpang berkenaan bertindak terjun daripada kereta dinaiki akibat salah faham itu.

“Pada 11 Ogos lalu, kita menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan iaitu pemandu menyatakan mengambil seorang penumpang iaitu wanita tempatan jam 4.50 petang di Taman Seroja untuk dihantar ke Kip Mall, Tampoi.

“Akibat kerja penyelenggaraan jalan raya, pemandu terpaksa mengubah laluan asal dan menuju ke arah Taman Perling untuk membuat pusingan U di Jalan Persisiran Perling.

“Tetapi oleh kerana mendapati laluan yang diambil berbeza, penumpang itu terjun daripada kereta yang sedang bergerak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta itu segera berhenti untuk membantu namun penumpang berkenaan dibawa ke hospital oleh orang awam. 

“Pemandu itu membuat laporan polis sebaik kejadian dan melaporkan kepada pihak syarikat. Penumpang juga membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit,” katanya.

Pada masa sama, Balveer Singh menyarankan pemandu perkhidmatan pengangkutan memperbaiki komunikasi dengan penumpang dalam situasi yang memerlukan laluan alternatif.

“Kita juga ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, namun perlu berhati-hati dan tidak bertindak terburu-buru sehingga boleh mendatangkan risiko kepada diri sendiri dan orang lain.

“Jika berlaku situasi yang mencurigakan atau tidak dijangka, disarankan supaya berkomunikasi dengan pemandu atau pihak yang terbabit untuk mendapatkan penjelasan.

“Sekiranya masih merasa tidak selamat, hubungi polis dengan segera,” katanya.

Terdahulu, tular satu tangkap layar memaparkan nama pemandu yang dikatakan cuba menculik penumpang menyebabkan wanita itu terjun daripada kereta untuk menyelamatkan diri.

Dalam tangkap layar itu, turut dinyatakan bahawa pemandu berkenaan menutup isyarat lokasi dan menukar kepada status ‘offline’ dalam aplikasi e-hailing itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *