December 22, 2024

Sungai Siput: “Penduduk tak akan pergi ke kawasan itu dan kami melarang ahli keluarga ke sana kerana banyak binatang berbisa. Saya pasti dia tak ke sana seorang diri.”

Itu kata-kata Rosli Mahadi, 48, bapa kepada Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui meninggal dunia semalam di kawasan berpaya perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini selepas dilaporkan hilang semalaman.

Rosli berkata, kawasan berpaya yang berjarak kira-kira 100 meter dari rumahnya itu sangat jarang dikunjungi penduduk, malah peringatan serupa turut dimaklumkan kepada anaknya itu.

Justeru dia yakin Nuraina Humaira tidak berseorangan pergi ke lokasi berkenaan.

“Kawasan berpaya itu jarang dilalui orang sebab berair dan hendak bercucuk tanam pun tidak sesuai di situ malah memang di situ banyak ular berbisa.

“Atas faktor itu pencarian penduduk kampung pada mulanya tidak meliputi kawasan paya itu, lagipun selalunya kalau dia (Nuraina Humaira) ke mana-mana memang dia akan maklumkan pada keluarga, selalunya kepada emaknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sungai Siput, di sini hari ini.

Rosli berkata, pada hari kejadian dia sedang menjalankan tugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Lasah dan kehilangan anaknya dilapor ketika penduduk selesai solat Jumaat di surau berhampiran rumahnya.

“Tengah hari itu memang anak diminta ibunya supaya membeli barang di kedai dan ada orang kampung nampak dia bermain dekat kawasan surau, malah jadi kelaziman masyarakat kampung kami untuk mengadakan jamuan di surau setiap minggu selesai sahaja solat Jumaat. 

“Ada yang nampak anak saya main seorang diri di luar pagar surau ketika jamuan itu berlangsung,” katanya yang memberitahu anak sulung daripada dua beradik itu seorang yang pemalu dan manja dengannya.

Rosli berkata, sebagai satu-satunya anak perempuan, dia kerap melayani dan memujuk anaknya itu jika merajuk.

“Biasanya kalau saya balik dari kerja, dia akan minta pinjam telefon bimbit, hendak tengok ‘YouTube’ dan kartun katanya.

“Dia pergi dulu mungkin (tanda) Allah sayangkan dia. Patutnya saya yang Allah panggil dulu kerana dia budak masih kecil…. saya terima kenyataan dan reda,” katanya.

Setakat 5 petang hari ini, keluarga masih menunggu di Hospital Sungai Siput untuk menuntut jenazah dan akan dikebumikan di tanah perkuburan di Kampung Bersah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *