December 22, 2024

Kesilapan besar oleh seorang pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan janji-janji yang tidak realistik adalah antara sebab kekalahan gabungan itu dalam PRK Nenggiri semalam, kata seorang penganalisis politik.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, salah satu kesilapan ketara adalah kenyataan dibuat oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, terhadap Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Saya rasa ini sangat mempengaruhi pengundi Melayu yang sangat menghormati bekas Yang di-Pertuan Agong itu,

 katanya kepada FMT, sambil menambah kesannya sangat ketara sehingga ‘mereka yang sepatutnya mengundi PN tidak keluar mengundi’.

Muhyiddin didakwa membuat kenyataan yang tidak menghormati Sultan Abdullah ketika berkempen di PRK Nenggiri apabila mendakwa beliau mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen selepas PRU 2022 dan Agong sepatutnya melantik beliau sebagai perdana menteri ke-10.

Fauzi juga berkata pendekatan PN dalam menangani isu tempatan di Nenggiri turut menyumbang kepada kekalahannya.

Kita mesti ingat PN membuat beberapa janji yang sangat tidak realistik, seperti mahu menyelesaikan isu hak tanah yang melibatkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dalam masa 24 jam, katanya.

Sepanjang kempen, pemimpin PAS menuduh berlaku salah urus dalam Kesedar berkait isu tanah dan melambatkan pemberian geran kepada penduduk.

Bagaimanapun, Pengerusi Kesedar, Zawawi Othman, menafikan dakwaan tersebut, dan menyatakan proses pemindahan tanah memakan masa yang lama kerana mereka perlu mematuhi prosedur kerajaan negeri.

Seorang aktivis yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan, Hisyamuddin Ghazali berkata dalam analisisnya agitasi PAS mengenai isu tanah dengan Kesedar dan Felcra tidak berjaya mempengaruhi pengundi.

Usaha positif Kesedar dan Felcra, di bawah kerajaan perpaduan, berjaya menangani tuntutan tanah peneroka dan menghidupkan kembali agensi-agensi tersebut, katanya.

Malam tadi, Barisan Nasional merampas semula kerusi DUN Nenggiri apabila calonnya, Azmawi Fikri Abdul Ghani, menang dengan majoriti 3,352 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon PN, Rizwadi Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *