September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Kumpulan pop sensasi, Dolla yang kini hanya dibarisi tiga anggota sedih dan tidak lengkap tanpa bekas anggota, Syasya ketika menjayakan Konsert Re: Birth The Experience di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sabronzo atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli berkata, dia terkenang ketiadaan Syasya dan merasa seolah-olah mereka tidak lengkap.

Bagaimanapun, Sabronzo tetap optimis dengan jalan sudah dipilih Syasya, selain berharap rakannya itu akan gembira melihat kejayaan Dolla menerusi konsert sulung.

“Sebenarnya, saya terlintas mengenai ketiadaan Syasya pada konsert ini.

“Syasya tidak menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Sudah tentu ada rasa sedih sebab perbualan mengenai konsert ini terjadi sebelum Syasya meninggalkan Dolla. 

“Dalam masa sama, saya fikir ini adalah perkara yang sudah terjadi. Apapun, kami tetap bersyukur kerana dapat buat konsert pertama ini. Kami berharap Syasya gembira melihat kami berjaya mengadakan konsert pertama,” katanya.

Mengulas tidakkah mengundang Syasya untuk menonton konsert, Tabby menjelaskan, ia di luar bidang kuasa mereka.

“Sebenarnya, tiada apa yang boleh kami lakukan mengenai jemputan untuk Syasya. Kami sangat sibuk dengan persiapan konsert dan sebagainya.

“Jadi, pihak pengurusan yang mengambil peranan mengundang tetamu. Saya juga tak berapa pasti, tapi mungkin dia juga dijemput untuk datang.

“Syasya tetap sebahagian perjalanan kami sebagai Dolla. Sebagaimana kami harapkan Syasya ada, tak mengapa kerana kami masing-masing mempunyai perjalanan dan haluan sendiri.

“Harapnya Syasya melihat kami sebagai memori manis dalam kehidupan dan semoga dia baik-baik sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas penampilan yang disifatkan menjolok mata oleh netizen, Sabronzo memberitahu, dia tidak membaca komen netizen.

“Saya ada menonton video konsert di platform media sosial yang peminat muat naik, tapi saya tidak baca komen sebab masih dalam fasa berehat selepas konsert. Jadi, saya tidak lihat terlalu banyak. 

“Tapi, saya bersyukur apabila ramai yang seronok menonton persembahan kami. Malah, ada juga yang cakap seronok dapat tonton kumpulan wanita membuat persembahan di Malaysia,” katanya.

Pada 8 April lalu, Dolla membuat kejutan apabila mengumumkan pengunduran Syasya menerusi hantaran dalam akaun media sosial hingga ramai peminat kecewa.

Dolla ditubuhkan pada April 2019 apabila Angel, Sabronzo, Tabby dan Syasya yang pada mulanya tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu pada sesi uji bakat pencarian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *