November 7, 2024

Bekas ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar menjawab kritikan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi bahawa dia menggunakan alasan “low class” apabila membangkitkan nama Najib Razak dalam keputusannya untuk menyertai Bersatu.

Noh berkata dia tidak menjual nama Najib, sebaliknya sudah lama kecewa dengan Umno.

“Saya sudah lama kecewa dengan Umno. Umno tetap tidak berubah.

“Tambahan pula di dalam isu titah addendum (dalam pengampunan diraja Najib) ini, Najib sekali lagi terperdaya dengan drama dan wayang dari rakan-rakan di sekelilingnya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Noh juga menyifatkan keputusan mesyuarat MKT Umno pada Februari lalu untuk mendapatkan pengampunan terhadap Najib dengan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai “main wayang sahaja”.

Semalam, Puad mendakwa Noh sekadar “menjual nama” Najib untuk menjustifikasikan langkahnya menyertai Bersatu kerana dia bukanlah penyokong tegar bekas perdana Menteri itu.

“Low class punya alasan. Noh bukan die hard Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?

Puad juga menyifatkan langkah Noh menyertai Bersatu ada maksud tersirat, iaitu untuk menjadi calon di kerusi Parlimen Tanjong Karang – yang pernah dipegangnya buat sekian lama –

Menjawab dakwaan itu, Noh berkata dia boleh bertanding di situ pada PRU yang lalu jika mahu.

“Sekiranya saya mahu jadi calon, pada PRU15 saya telah pun ditawarkan untuk bertanding tetapi saya tolak.

“Puad kata saya beri low class punya alasan. Yang sebenarnya tanpa Puad sedari, Puad adalah seorang Speaker DUN yang low class,” katanya lagi.

Selaku speaker DUN Johor, kata Noh lagi, Puad seharusnya bersifat lebih neutral dan tidak lagi mencampuri isu politik kepartian.

“Apa yang sering dilakukannya adalah mencampuri urusan politik parti dengan komen-komen yang kadang kala dilihat lucu dan menghiburkan, dengan harapan agar dirinya terus dilihat relevan dalam politik,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *