December 22, 2024

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan kes seorang pempengaruh TikTok yang didakwa mati bunuh diri selepas dibuli siber telah dirujuk kepada polis untuk siasatan.

Jelas Fahmi, walaupun mangsa sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aduan itu tidak berkaitan dengan insiden buli siber yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

“Bagaimanapun, Isu-isu seperti inilah yang menjadi sebab kenapa pihak kementerian mahupun kerajaan bersungguh-sungguh mahu meneliti atau memantau aspek kandungan di media sosial dan hubungannya dengan pengurusan platform,” kata Fahmi, seperti dilaporkan Bernama.

Awal hari ini, kejadian tragis yang meragut nyawa mangsa berusia 30 tahun itu mencetus perhatian meluas di media sosial. Pengguna mendakwa bahawa kematiannya adalah akibat gangguan tanpa henti yang dia alami selama beberapa minggu.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Timbalan Pengerusi Urimai David Marshel memberitahu bahawa gangguan itu bermula selepas mangsa terlibat dalam perdebatan dalam talian dengan sekumpulan pempengaruh yang kemudiannya menyasarkannya.

“Malah mangsa telah ditahan sebentar, dan selepas dibebaskan, dia berdepan dengan buli siber yang berterusan, termasuk penggunaan bahasa yang menghina dan penggunaan gambar keluarganya,” jelasnya.

David mendedahkan bahawa mangsa telah menghubunginya mengenai gangguan itu, dan dia telah menasihatinya untuk tidak menggunakan media sosial buat sementara waktu.

“Namun hari ini saya menerima berita kematian beliau.

“Kes kematian akibat siber buli di Malaysia bukan pekara baru dan kami telah menyeru kerajaan agar satu dasar atau peraturan baru untuk mengekang agar akaun laman sosial palsu yang berleluasa di semua laman sosial khasnya di Tik Tok dan Telegram,” tegas David.

Justeru, dia menyarankan kerajaan menguatkuasakan pendaftaran wajib akaun media sosial menggunakan nombor MyKad atau pasport.

“Ini supaya dapat menghindari akitviti buli mahupun fitnah yang melampau boleh dikenal pasti dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya. Di samping itu pihak mangsa boleh mengambil tindakan saman malu terhadap individu yang berbuat demikian,” katanya.

Menyuarakan sentimen yang sama, aktivis sosial Tamil Eswaran memfailkan laporan polis dan menuntut keadilan untuk mangsa.

“Kami membuat laporan untuk memastikan akauntabiliti bagi akaun (pengguna media sosial) yang bertanggungjawab dan menggesa SKMM untuk menyahaktifkan akaun palsu di platform,” kata Tamil kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan keluarga mangsa dan meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya telah menghubungi peguam yang bersedia untuk membantu. Kita tidak boleh biarkan tragedi ini berulang. Cadangan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian, yang menjenayahkan tindakan yang menyumbang kepada bunuh diri, mesti disegerakan,” tegasnya.

Malay Mail melaporkan tahun lalu bahawa Fahmi telah menggariskan rancangan untuk mempercepatkan undang-undang menangani buli siber bagi memerangi kesannya yang semakin meningkat. Perundangan itu akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun untuk digubal.

Sementara itu, Bernama memetik Fahmi berkata dia tidak berpuas hati dengan cara platform media sosial seperti TikTok mengendalikan aduan buli siber, dan dilihat mengambil mudah perkara itu.

Dia akan bertemu semua platform media sosial pada akhir bulan ini untuk menangani pengurusan isu buli siber.

“Pertemuan itu nanti akan turut disertai MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimdia Malaysia), Jabatan Peguam Negara serta pihak berkepentingan lain untuk kita lihat dan teliti perkara ini berdasarkan aduan-aduan yang telah diterima.

“Kita mahu perubahan yang menyeluruh, mahu penyedia platform lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang yang ada di negara ini, mereka sudah meraih banyak keuntungan daripada hasil pengiklanan, jadi sekiranya ada apa-apa (aduan) mereka wajib ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi mengatakan ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul.

Jika anda berasa tertekan atau ada kecenderungan bunuh diri atau mengenali seseorang seumpamanya, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih
15999

The Befrienders
03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia
03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia
03-42657995

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *