December 18, 2024

Kuala Lumpur: Aliff Aziz mengakui tindakan dia mendedahkan aib isterinya, Bella Astillah adalah salah dan dia terburu-buru dengan tindakannya itu.

Aliff juga mengakui ketika itu dia dikuasai dengan marah, benci dan kesal. 

“Ia perkara yang salah dan saya menyesal. Ia pada akhirnya dia (Bella) tetap ibu kepada anak-anak saya,” katanya yang akhirnya bersuara selepas agak lama mendiamkan diri. 

Aliff berkata demikian ketika tampil dalam satu ‘podcast’ yang menayangkan sedutan Aliff memberi penjelasan selepas senyap sepanjang konflik itu melarat jadi perbualan hangat.

“Semua orang nak bercakap, selalunya orang yang bersalah ini, dia kena cakap terakhirlah. Sebab kalau aku yang cakap dulu, perkara itu akan berbalas-balas dan ia akan jadi lebih teruk dan ‘bising’,” katanya.

Terdahulu, pada 13 Mac lalu, Bella mengambil keputusan memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

la susulan Aliff dan pelakon Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes tersebut pada 4 April lalu kerana masih sayangkannya dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka.

Isu di antara mereka semakin rumit apabila muncul seorang wanita, Sarah Yasmine mendakwa dia adalah kekasih Aliff sejak Januari lalu.

Sarah turut mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dengan Ruhainies.

Pendedahan itu membuatkan ramai bengang selain isu itu turut mengaitkan beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *