PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 semalam kerana disyaki menjual produk makanan berlabel “No Palm Oil” (NPO) atau “Tiada Minyak Sawit” pada plastik pembungkusannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, serbuan bermula 11.45 pagi itu dibuat berdasarkan aduan awam.
“Kes akan disiasat bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.”
Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.
Menurut Armizan, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 hingga 2 Mei 2024 bawah perundangan itu, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara terhadap premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran. Daripada jumlah itu, katanya, KPDN mendapati terdapat empat kes.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan,” katanya.
Armizan berkata, jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barangan yang melibatkan komoditi utama negara, iaitu minyak kelapa sawit.