December 16, 2024

JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Indragiri Hulu, wilayah Riau meletakkan patung menyerupai pocong di tepi sebatang jalan sebagai tanda protes  keadaan jalan tersebut yang rosak teruk dan berlubang, lapor laman berita Liputan Oke kelmarin.

Patung pocong tersebut membuatkan pengguna jalan raya berasa takut ketika melalui jalan itu.

Tindakan dibuat sebagai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap wakil rakyat yang tidak membaiki jalan tersebut dan bagi menuntut janji semasa pilihan raya baru-baru ini.

“Tolong beri perhatian pak dewan (Speaker Dewan Perwakilan Rakyat),” demikian menurut kenyataan sepanduk yang dipamerkan bersebelahan patung tersebut.

Satu lagi sepanduk bertulis: “Menuntut janji 16 kilometer”, dipercayai merujuk kepada manifesto Ketua Daerah Indragiri Hulu, Rezita Meylani semasa kempen pilihan raya lalu.

“Rezita pernah berjanji untuk menambah baik jalan di kawasan tersebut,” kata salah seorang penduduk.

Tambah penduduk yang enggan mendedahkan namanya itu, antara sebab lain patung pocong  diletakkan adalah sebagai bentuk peringatan kepada penduduk bahawa jalan raya di situ rosak dan berlubang.  – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *