December 18, 2024

PETALING JAYA: Mereka yang mempersoalkan sama ada Malaysia mempunyai kebebasan akademik harus melihat Amerika Syarikat (AS) di mana berlakunya protes berterusan di universiti, kata bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin.

Dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap, Khairy menyatakan mengenai protes mahasiswa terhadap dasar kerajaan AS berhubung konflik Israel-Palestin dan genosid di Gaza.

“Sekarang banyak demostrasi, pelajar duduk di khemah sebagai tanda protes terhadap dasar AS berhubung genosid dan dasar universiti dari segi pelaburan universiti kepada syarikat ada kaitan dengan Israel.

“Satu pemberontakan besar sedang berlaku, yang mungkin boleh disamakan dengan demostrasi mahasiswa di AS terhadap Perang Vietnam,” katanya.

Minggu lalu telah menyaksikan penahanan ratusan pelajar di AS yang berhimpun bagi menuntut gencatan senjata dan pelupusan aset universiti dalam syarikat yang terlibat dengan tentera Israel.

Sementara itu, Khairy turut membidas mereka yang berkata kerajaan Malaysia tidak sepatutnya membatalkan program dihadiri ahli akademik AS Bruce Gilley dan sepatutnya membahaskan pandangannya secara intelektual.

“Masalahnya ialah pandangan beliau tidak berfakta. Itu adalah penipuan,” katanya.

Gilley dikecam di selepas mendakwa Malaysia mahukan “Holocaust kedua” ketika menyampaikan ceramah di Universiti Malaya (UM).

Bruce Gilley, profesor sains politik di Portland State University itu turut memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.

Bagaimanapun, Khairy berkata Gilley berbohong dengan menuduh Malaysia sebagai anti-Semitik, kerana isu Malaysia bukan dengan Yahudi, tetapi dengan Zionisme.

“Dia menuduh Malaysia mempunyai dasar untuk membunuh orang Yahudi. Itu adalah pembohongan, tuduhan berat dan tidak betul yang melampaui batas perbincangan akademik.

“Saya rasa kita tidak mempunyai masalah untuk menjemput ahli akademik dari seluruh dunia datang ke Malaysia dan membincangkan isu secara ilmiah. Tetapi apabila dia melampaui batas dan menjadikan (UM) platform untuk propaganda Zionisme, saya rasa kita tidak teragak-agak untuk membatalkan (acaranya) dan memintanya meninggalkan Malaysia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *