December 18, 2024

Penyanyi Adira Suhaimi reda dengan ketentuan takdir berpisah dengan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, di sini, pagi tadi.

Adira yang ditemui selepas selesai menandatangani dokumen perceraian berkata, dia bersyukur doanya ketika menunaikan umrah dimakbulkan.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Saya bersyukur sebab akhirnya selesai. Saya banyak berdoa agar Allah lembutkan hati Datuk Red.

“Sejujurnya, saya memang banyak berdoa di Tanah Suci. Saya sangat bersyukur doa makbul,” katanya.

Menjawab pertanyaan bagaimana boleh tenang berhadapan dengan situasi itu, Adira berkata, tiada apa yang perlu digaduhkan dan bersyukur Datuk Red juga memberikan kerjasama. 

“Tak semestinya nak bercerai kena bergaduh, tak perlu nak buka aib pasangan masing-masing. Macam mana pun anak-anak tetap kami akan besarkan bersama.

“Kami ambil langkah tidak bergaduh supaya senang berhubung selepas cerai.

“Datuk Red juga bersetuju untuk bercerai jika saya tak tuntut apa-apa. Tapi keputusan ini atas kehendak saya sendiri. 

“Apa yang pasti, saya tidak mahukan apa-apa sebab tak nak susahkan lagi Datuk Red. Iyalah, dia pun tengah ‘down’. 

“Kita doakan yang terbaik untuknya. Saya percaya kalau rezekinya murah, ada bahagian untuk anak-anak saya,” katanya. 

Tambah Adira, anak-anaknya kini di bawah jagaannya, namun tidak melarang Datuk Red datang melawat atau bermalam dengan mereka.

“Buat masa ini, saya menjaga anak-anak, tapi saya tidak menghalang Datuk Red datang menjenguk, ambil atau nak bermalam, atas persetujuan kami bersama. 

“Anak-anak pun tidak tahu, saya pun tak beritahu lagi tapi Anggerik mesti tahu sebab sudah pandai membaca,” katanya. 

Kes perceraian Adira dan Datuk Red didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar yang mengesahkan lafaz sekitar pada jam 9.39 pagi itu adalah sah mengikut hukum syarak.

“Bahawa saya Adnan Abu menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu,” lafaz Datuk Red.

Ketika kes dibacakan Datuk Red kelihatan tunduk sayu, manakala Adira yang kelihatan tenang bersetuju tidak menuntut nafkah. Pasangan itu bersalaman dalam dewan bicara sebelum bersurai. 

Mengulas soal anak-anak, peguam syarie mewakili Adira iaitu Nor Saidah Zakaria berkata, pihaknya akan memfailkan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

“Mereka ada persetujuan berkaitan dengan hak jagaan anak-anak dan kes akan difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam,” katanya. 

Pada 5 Mac lalu, Adira dan Datuk Red hadir bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses perceraian mereka.

Datuk Red melantik sahabat baik sendiri sebagai wakil JKP, manakala Adira selaku plaintif melantik kakaknya, Emma Suhaimi untuk prosiding berkenaan.

Semalam, Datuk Red yang mahukan isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim dan isteri kedua, Adira menarik balik permohonan cerai mereka.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman. Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Datuk Red dengan isteri pertama, Datin Red mempunyai lima cahaya mata.

Sebelum itu, Datuk Red pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, Datuk Red dikurniakan dua cahaya mata dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *