November 18, 2024

Pelakon Rozita Che Wan bersetuju kerajaan menetapkan had umur bagi pemilik akaun media sosial agar dapat mengelakkan kanak-kanak daripada melayari kandungan tidak sepatutnya dalam telefon bimbit.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta mencadangkan agar had umur yang sepatutnya dibenarkan membuka akaun media sosial antara 13 hingga 15 tahun.

“Saya setuju jika kerajaan melaksanakan had umur bagi membuka akaun media sosial. Ini kerana bila membabitkan media sosial dan isu viral, banyak perkara yang tak elok daripada elok.

“Dalam keadaan sekarang, ibu bapa memang sudah tak mampu kawal apatah lagi, anak-anak kini memiliki telefon bimbit sendiri.

“Agak mencabar mahu periksa satu persatu telefon bimbit anak. Jadi, tindakan penetapan had umur pemilik akaun media sosial adalah satu langkah tepat.

“Kadang-kadang mereka masih belum matang, jadi cenderung membuat hantaran merapu atau meninggalkan komen bukan-bukan kepada hantaran orang lain.

“Contohnya, ada yang tinggalkan komen merepek dan bila diselidik, mereka adalah budak sekolah. Mereka ini biasanya lebih laju daripada ibu bapa dalam penggunaan media sosial,” katanya.

Che Ta berkata, dia juga menggalakkan ibu bapa tidak mendedahkan anak-anak kepada telefon bimbit pada usia yang muda kerana tiada keperluan berbuat demikian.

“Bagi saya, kanak-kanak tak perlu didedahkan dengan telefon bimbit terlalu awal sebab mereka bukan buat apa. Orang dewasa berbeza kerana memerlukan telefon bimbit bagi tujuan kerja seperti membuat ulasan produk atau mempromosikan jualan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana yang memiliki akaun Instagram, Che Ta bagaimanapun menjelaskan, dia dan suami, Zain Saidin tidak membenarkan anaknya mengendalikan akaun media sosialnya sendiri.

Jelas Che Ta, kanak-kanak berusia 10 tahun itu hanya dibenarkan memegang telefon bimbit pada hujung minggu.

“Memang Aaisyah ada akaun IG, tetapi saya yang pantau. Dia tak dibenarkan membuat hantaran sendiri.

“Tapi, bila teringin nak muat naik hantaran di IG Story, Aaisyah akan tanya dan minta kebenaran saya.

“Hantarannya lebih kepada selfie, gambar makanan dan kucing sahaja. Aaisyah memang tak berani memandai-mandai kerana saya dan Zain akan sentiasa pantau dan hanya benarkan guna telefon pada hujung minggu.

“Saya akan tegur kalau nampak Aaisyah menonton kandungan merapu-rapu walaupun hanya dapat gunakan telefon bimbit pada hujung minggu.

“Aaisyah juga tidaklah terlalu taksub dan bila bateri telefon habis, dia akan berhenti serta sambung tonton televisyen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *