December 18, 2024

Model yang juga pempengaruh media sosial Siew Pui Yi memfailkan saman terhadap bekas rakan kongsi perniagaannya kerana didakwa menipunya membabitkan jumlah RM4.3 juta.

Siew atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi meminta pengarah syarikatnya berusia 29 tahun dikenali sebagai “Mentos” itu untuk menyelesaikan cukai tertunggak syarikat dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, lelaki itu didakwa menghilangkan diri tanpa membayar tunggakan berkenaan.

Puiyi yang mempunyai 24 juta pengikut di Instagram mendakwa lelaki itu juga menyeleweng wang dari syarikatnya PY Empire Sdn Bhd sejak Jun 2022.

“Saya diperkenalkan kepada lelaki itu oleh seorang kawan pada 2019 dan dia diperkenalkan sebagai seorang yang berintegriti tinggi.

“Dia menguruskan hal ehwal sumber manusia dan melaburkan dana syarikat saya,” kata pelakon filem Mimpi itu pada sidang media di Green Hall.

“Saya mempercayainya dan memberinya wang (hampir RM4.3 juta). Tetapi dia tidak menyelesaikan cukai tertunggak seperti diarahkan. Akibat tindakan itu, saya mengalami kerugian.”

Peguamnya K Mahendran berkata satu laporan polis dibuat model itu pada Oktober tahun lalu dan polis sudah dua kali merakam keterangan Siew.

Bagaimanapun, dakwanya tiada sebarang tindakan atau perkembangan berkaitan kes itu.

Mahendran berkata saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kembali RM2.3 juta, selain kos dan ganti rugi lain yang ditetapkan mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *