December 18, 2024

Kota Bharu: Kira-kira 20 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di bandar ini menerima rawatan selepas disyaki terkena keracunan makanan.

Individu yang enggan namanya didedahkan berkata, pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun itu terkena keracunan makanan selepas dipercayai menikmati nasi bungkus bersama kuah gulai dan ayam goreng.

Katanya, anak saudaranya juga menjadi salah seorang mangsa keracunan makanan dan menerima rawatan di sebuah klinik.

“Pelajar sekolah ini menyertai kursus di sekolah dan mereka disediakan makanan bungkus. Selepas makan nasi bersama kuah gulai dan ayam goreng pada Sabtu lalu (kelmarin) mereka disyaki terkena keracunan makanan.

“Anak saudara saya memaklumkan dia terkena keracunan makanan sejak semalam, namun masih terkawal, tetapi hari ini menjadi makin teruk dan terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dia berharap kesemua pelajar tidak terkena gejala yang teruk dan semoga mereka cepat sembuh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.

“Ya (kes keracunan makanan). Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *