December 18, 2024

Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan 41 akaun bank miliknya dan entiti syarikat lain membabitkan wang sebanyak RM15 juta.

Peguamnya, Rafique Rashid berkata, pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan kerajaan.

Menurutnya, setakat ini, dua surat sudah diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari lalu, merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan untuk dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, angka kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala 65,636 orang lagi cedera.

“Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi. Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.

“Aman Palestin menyerahkan urusan ini kepada sistem kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya daripada tohmahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan),” katanya.

Rafique berkata, Aman Palestin sebagai institusi yang dikenali mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya, berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak masyarakat Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *