December 18, 2024

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan oleh Lembaga Pengampunan, semalam.

Menurut sumber, “Najib sudah mendapat pengampunan semalam, tetapi kenyataan rasmi belum dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu pagi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa secara ringkas memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung pembebasan Najib oleh Lembaga Pengampunan.

Katanya, mesyuarat itu diadakan di Istana Negara, bagaimanapun tidak memaklumkan bila kenyataan rasmi itu akan dikeluarkan.

Semalam, akhbar ini melaporkan Lembaga Pengampunan bermesyuarat semalam dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan difahamkan salah satu agenda mesyuarat adalah mengenai pembebasan Najib.

Bagaimanapun, Zaliha enggan mengulas lanjut mengenai agenda mesyuarat berkenaan memandangkan ia adalah perkara sulit.

Najib sebelum ini menghadapi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022.

Selain itu, beliau juga sedang dibicarakan untuk pertuduhan lain berkaitan skandal 1MDB.

Media tempatan sebelum ini memetik kenyataan seorang ahli kanan dalaman kalangan orang kepercayaan Najib berkata, terdapat ‘suasana positif’ mengenai petisyen pengampunan itu sekiranya permohonan itu didengar dalam mesyuarat bulan ini.

Bulan lalu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukannya akan menulis surat ke Putrajaya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai permohonan Najib untuk pengampunan diraja, yang difailkan hampir 10 bulan lalu.

Namun, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri 10 Januari lalu tidak membincangkan perkaraa yang membabitkan Lembaga Pengampunan termasuk kes bekas Perdana Menteri. 

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *