December 18, 2024

AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melambaikan tangan ketika berangkat pulang selepas majlis Minum Petang Bersama Komuniti sempena Kembara Kenali Borneo di Kampung Pangkalan Lutong semalam. FOTO Bernama

RAKYAT Sarawak gembira Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari kelapan Kembara Kenali Borneo.

Kembara konvoi Seri Paduka berdua itu akan mengadakan persinggahan di Pantai Bungai, satu daripada pantai di Bekenu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Pesta Keramaian Bersama Rakyat di pantai itu yang merupakan antara lokasi tarikan di Daerah Miri, terletak kira-kira 35 km dari sini.

Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Antara acara bagi mewarnai pesta keramaian yang bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu adalah program kenduri rakyat, sukan rakyat, jualan kraftangan serta santapan tengah hari bagi meraikan kunjungan Kembara Kenali Borneo.

Kemudian Seri Paduka berdua bersama rombongan akan meneruskan perjalanan ke Kampung Penan Muslim, Batu 10, Miri-Bintulu untuk majlis santapan petang serta pengurniaan sumbangan bantuan asnaf di situ.

Seri Paduka berdua turut dijadualkan mengadakan sesi bergambar di Nyabau Interchange, Bintulu sebelum mengakhiri penjelajahan Kembara Kenali Borneo ke hotel penginapan.

Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan mengadakan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 Sept.

Kembara tersebut telah menyambung semula penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri dengan beberapa acara dianjurkan untuk meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua bersama delegasi, semalam.

Tujuan Kembara Kenali Borneo adalah untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada Khamis sejak ia bermula pada 3 Sept lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *