December 18, 2024

Negara terancam sekiranya kelompok agamawan samada yang berkerja makan gaji di jabatan agama, majlis agama dan kementerian agama masih bersikap mendiam diri di saat agama Islam dijadikan tunggangan di negara ini.

Islam tertegak dengan ‘an-nasihah’ dan mencegah kemungkaran adalah termasuk di dalamnya. Islam akan terhina dengan perbuatan orang Islam sendiri. Jika tidak dicegah maka peradaban Islam di Malaysia akan hancur.

Jika di zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, mana-mana pertubuhan yang mengeluarkan fatwa sesat termasuk mengamalkan fahaman selain daripada Sunni maka kerajaan melalui majlis agama akan terus mengharamkannya dan bertindak menghukum si pelaku kerana bimbang akan berlaku penularan ajaran yang menyimpang dari Islam yang sebenar.

Antara keputusan dan tindakan yang drastik diambil adalah pengharaman terhadap pertubuhan Al-Arqam. Titik puncak pertubuhan tersebut diharamkan adalah apabila ketua mereka, arwah Ashaari Muhammad mula bercakap tentang pertemuan beliau dengan Nabi saw secara ‘yakazah’ atau di dalam sedar.

Kumpulan ini bukanlah satu pertubuhan politik namun kerana bimbang bakal merosakkan akidah masyarakat ketika itu maka tindakan pengharaman dilakukan segera.

Kini bukan sahaja kisah bermimpi Nabi saw menjadi bahan ceramah politik malah ‘yakazah’ juga dipertuturkan sewenangnya seolah mereka adalah wali Allah yang terhebat dan perjuangan mereka adalah sebahagian dari agama.

Setiap kali adanya pilihanraya termasuk pilihanraya kecil maka pelbagai dalil, nas melalui penafsiran akal politik berkumandang di atas pentas ceramah kempen. Begitu bebas dan seolah tiada sebarang tindakan. Jika ada pun ianya mengambil masa yang lama untuk ‘dihakimi’. Di zaman ini rakaman video sudah cukup dijadikan bukti wujudnya kumpulan yang menjadikan agama sebagai haiwan tunggangan. Percepatkan proses hukuman supaya ianya boleh mencegah perbuatan sesat yang semakin membimbangkan.

Di PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram juga tidak terkecuali malah dilihat PAS PN semakin ghairah mengeluarkan fatwa halal dan haram. Muhyiddin juga nampaknya begitu gigih dan ghairah mengeluarkan fatwa dan apa yang menyedihkan pihak yang bertanggungjawab tidak bertindak sewajarnya. Arahan supaya tidak menyentuh 3R ( Royal, Religious dan Race) tidak diendahkan malahan Mahathir, Hadi Awang dan barisan kepimpinan utama Perikatan Nasional begitu galak mencabar arahan kerajaan.

Jika arahan semudah ini tidak dipedulikan, bagaimana nasib umat Islam di negara ini? Ketika PAS bersama DAP, dalil boleh dan harus dikeluarkan oleh ‘ulama politik’ mereka dan apabila DAP memilih untuk tidak bersama PAS maka dalil baharu pula muncul seolah PAS sahaja yang perjuangkan Islam di negara ini. Jasa UMNO kepada pembangunan Islam di Malaysia cuba ditutup oleh PAS.

Jika merasakan berdosa melawan PAS maka berhentilah menjadi agamawan dan jika inginkan rahmat Allah sentiasa memelihara Johor dan Malaysia maka mulakan di Pulai dan Simpang Jeram, tolak golongan penunggang agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *