December 22, 2024

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan tindakannya memukul kepala seorang wanita muda dengan sehelai kertas.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sanusi berkata kejadian pada Sabtu itu hanyalah cara bergurau untuk menegur pelajar berkenaan kerana lambat memohon bantuan.

“Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu.

“Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak.

“Anak tu nak masuk politeknik esok hari (kelmarin dulu). Pada hari tu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuk lah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik,” katanya.

Pada video kejadian yang tular itu, Sanusi dilihat memukul kepala wanita berkenaan dengan sehelai kertas yang bergulung, sebelum semua orang ketawa.

Dia kemudian bergambar dengan wanita itu, menyerahkan sekeping kertas yang berbeza.

Sanusi berada di Kampung Budi, Pokok Sena pada hari Sabtu lalu untuk menyampaikan bantuan wang tunai dan keperluan kepada 60 penduduk kampung miskin tegar.

Terdahulu, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz (gambar, atas) tampil mengkritik menteri besar Kedah itu supaya menjaga kehormatan orang ramai dan menyifatkan tindakan Sanusi itu sebagai “biadab.” 

Bagaimanapun, Sanusi menjelaskan tidak adil untuk menilai tingkah laku orang Kedah berdasarkan kebiasaan adat orang Kuala Lumpur.

“Suruh depa pi tanya budak tu dengan mak dia lah… dia ada rasa macam depa tu dok kata dak?

“Ukur orang Kedah bergurau pakai pembaris KL memang tak jumpa yang lurus lah,” kata pemimpin PN itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *