December 22, 2024

Abdul Hadi Awang hari ini mengkritik Bapa Sastera Melayu Moden, Munshi Abdullah – atau nama sebenarnya Abdullah Abdul Kadir Munshi – sebagai “khadam penjajah”.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menyanggah tulisan kolumnis Malaysiakini Faisal Tehrani yang didakwanya merendah-rendahkan orang Melayu.

“Saya terbaca satu artikel dalam media Malaysiakiniyang merendahkan Melayu dengan merujuk kepada tulisan Abdullah Abdul Kadir Munshi (1796–1854) yang merupakan seorang penulis khadam kepada penjajah pada zaman kemuncaknya (sila baca riwayat hidupnya).

“Bukunya yang diterbitkan pada zaman penjajah dahulu dalam tulisan Jawi, membawa fikrah yang sama dengan penulisan para orientalis Barat yang merendahkan Islam dan penganutnya, termasuk bangsa Melayu kerana Islam yang dianutinya,” kata Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu Hadi tidak menyatakan nama penulis terbabit secara khusus, bagaimanapun ia dipercayai merujuk kepada tulisan Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa pada 16 Ogos lalu bertajuk “Madanifobia dalam kalangan Melayu”.

Karya tulisan pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia itu antaranya membangkitkan persoalan kenapakah Melayu sentiasa berasa Islam terancam.

Faisal juga menyoal kenapa ada ketakutan terhadap pendekatan Madani – yang dirujuknya sebagai Madanifobia – yang membawa gagasan Islam yang rahmah, berperadaban, berpemikiran, berkeadilan sosial dan hidup bahagia bersama masyarakat bukan Melayu.

Faisal turut memetik tulisan Munshi Abdullah dalam Kisah Pelayaran Abdullah, yang mendokumentasikan kezaliman dan keganasan penguasa Melayu, perang saudara yang tidak membawa apa-apa makna, pelacuran dan perhambaan ekoran hutang.

Permaisuri Agong rasmikan buku

Munshi Abdullah yang hidup di era penjajahan Melaka secara umumnya dihormati kerana memberi sumbangan terhadap perkembangan bahasa Melayu moden.

Dia mendapat gelaran “munshi” dan gelaran bahasa Parsi itu bermaksud “pendidik” atau “guru” .

Namanya diabadikan pada salah satu jalan di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang serta Singapura – tempat dia berkhidmat semasa hayatnya.

Bagaimanapun, seperti Abdul Hadi, terdapat beberapa pandangan yang mengkritik Abdullah sebagai pro-Barat.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 2019 berkenan menyempurnakan majlis pelancaran buku dokumentasi keturunan Bapa Sastera Melayu Moden Pertama Negara, Mushi Abdullah Sheikh Abdul Kadir di ibu negara.

Dalam hantarannya di media sosial hari ini, Abdul Hadi mendakwa “mereka” sengaja menutup sejarah keemasan atau menafikan kehebatan Melayu Nusantara yang mempunyai tamadun sendiri ketika bersama Islam selama beberapa abad.

Tamadun itu, dakwanya, melahirkan tokoh-tokoh ulama dan raja yang alim, raja yang adil, serta “mujahid” (pejuang) yang menentang penjajah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *