December 22, 2024

Gombak: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis ditahan dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan sekitar Seremban, Negeri Sembilan, pagi semalam.

Menurutnya, turut ditahan dalam serbuan itu adalah dua orang timbalan pendakwa raya (TPR).

Katanya, seorang lagi anggota polis dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati turut berada bersama mereka ketika serbuan terbabit.

“Seramai 14 daripada 15 pegawai dan anggota yang diperiksa di premis itu didapati positif dadah, manakala dua lagi penjawat awam yang ditahan juga positif dadah.

“Tindakan lanjut sudah diambil, yang pertama mereka ditahan kerja dan kita sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah di sini, hari ini.

Ayob hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua pegawai dan anggota terbabit buat masa ini diberi jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.

Menurutnya, tindakan itu diambil bukan hanya selepas serbuan itu ditularkan di media sosial tetapi ia tetap dikenakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang ditahan dalam operasi pusat hiburan.

“Kita tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana yang kita tangkap dalam operasi pusat hiburan, kita akan ambil tindakan tegas…bukan dikenakan (tindakan) selepas dihebahkan portal tertentu, tidak.

“Boleh tengok rekod tahun ini sahaja, seramai 741 tindakan tatatertib diambil dan lebih kurang 60 (pegawai dan anggota) sudah dibuang kerja setakat Julai,” katanya.

Beliau berkata, proses tatatertib berkenaan akan mengambil masa panjang dan meminta orang ramai tidak menganggap pihak polis melepaskan pegawai dan anggota terbabit tanpa tindakan.

“Mereka (suspek) diberi jaminan polis, itu proses biasa. Jangan tanya pula kenapa dibebaskan, itu proses biasa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Walaupun saringan awal positif, kita akan hantar sampel kepada patologi yang mungkin akan ambil masa sebulan,” katanya.

Ayob berkata, jika disabit kesalahan pegawai dan anggota polis terbabit boleh digantung kerja sementara rayuan dibuat di mahkamah.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang pegawai kanan dan 13 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban.

Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *