December 18, 2024

KETUA Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (tiga, kanan) meninjau lokasi kejadian nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam. FOTO Bernama

Klang: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, dia sempat bersembang panjang dengan pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53 yang dianggap rakan baiknya, tiga hari lalu. 

Megat Hashirat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh berkata, dalam tempoh itu banyak perkara yang disembangkan termasuk hal keluarga dan lain-lain kerana Sharipuddin antara orang ‘kuat’ beliau yang banyak membantu termasuk ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) dulu.

“Waktu itu (bersembang), dia ada bagi nama mereka yang ingin sertai program khatan di kawasan saya di Pauh, Perlis pada 27 September ini. 

“Malah, dia juga ada minta saya tolong tengokkan keluarganya (di Perlis) memandangkan dia berada di sini (Selangor). 

“Saya ada rasa pelik kerana sebelum ini tidak pernah kami bersembang begitu lama,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Sharipuddin adalah salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam. 

Menurutnya, beliau baru sahaja tiba di Klang bersama ahli keluarga Sharipuddin hari ini.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Perlis mengucapkan takziah kepada ahli keluarga semua mangsa yang terbabit dalam nahas ini. 

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan cuba bantu apa yang mampu kepada ahli keluarga Sharipuddin. Setakat ini, kita tidak tahu di mana jenazah akan dikebumi dan saya sendiri akan pantau keperluan ahli keluarganya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *