December 18, 2024

Remy terkejut dengan berita pemergian Allahyarham Shahrul Kamal dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Guthrie di Seksyen U16, Shah Alam, semalam.

Aktor Remy Ishak berkongsi kesedihan pemergian Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, iaitu juruterbang pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina berdekatan Lebuhraya Guthrie di Seksyen U16, Shah Alam, petang semalam.

Melalui entri Instagram (IG) yang dimuat naik, malam tadi, Remy yang mengenali Allahyarham Shahrul Kamal, memberitahu mereka baru sahaja bertemu di sebuah restoran di Shah Alam, Selasa lalu.

Remy turut berkongsi beberapa foto pertemuannya dengan Allahyarham Shahrul Kamal yang sempat diabadikan.

“Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Takziah buat Shefa (isteri Allahyarham Shahrul Kamal) dan keluarga atas pemergian Kapten Shahrul Kamal dalam nahas pesawat di Elmina, semalam.

“Baru dua hari lepas jumpa Kak Iza, arwah dan isterinya Shefa di Mozers Shah Alam,” tulis Remy.

Pelakon filem Sangkar itu turut meluahkan rasa terkejut atas perkhabaran duka pemergian arwah Shahrul Kamal.

Sehubungan itu, Remy atau nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, 41, mendoakan semoga roh Allahyarham Shahrul Kamal ditempatkan di sisi insan beriman.

“Hari ini (semalam) buka WhatsApp dapat berita menyedihkan ini. Saya sangat dukacita dengan berita ini, Shefa.

“Moga Allah tempatkan Shahrul bersama orang-orang beriman. Amin ya rabb!” luah Remy.

Allahyarham Shahrul Kamal adalah antara 10 individu maut dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang, semalam.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang sebelum terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *