September 20, 2024

IDRIS Idris Abdol Talib@Ramali, mangsa pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Elmina.

Kuala Lumpur: Seorang ibu yang baru selesai tempoh berpantang kelahiran anak ketiga berkata beliau perlu kuat untuk membesarkan anak-anaknya selepas suaminya terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam. 

Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, yang melahirkan anak ketiga berusia 54 hari berkata beliau mengetahui mengenai tragedi yang menimpa suaminya Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, melalui abangnya yang berkongsi pautan daripada portal media.

Katanya sepatutnya Allahyarham suaminya disambut oleh seorang daripada abangnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selepas ke Langkawi atas urusan kerja pada Rabu lalu.

“Allahyarham (Idris) adalah pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

“Beliau berlepas dari Kuantan ke Langkawi pada Rabu dan memang dijadualkan balik selepas tamat mesyuarat yang berlangsung pada pagi Khamis.

“Tapi abang saya memaklumkan ada berita mengenai kejadian berkenaan iaitu abang yang sepatutnya ambil suami di airport (lapangan terbang), tak dapat hubungi suami.

“Kemudian kita dapat pengesahan daripada pihak polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kehilangan suaminya itu amat dirasai oleh anak-anaknya yang berusia 14 dan 10 tahun kerana beliau seorang bapa yang penyayang dan mementingkan keluarga dan mereka pada mulanya juga agak sukar untuk menerima berita pemergian bapa mereka.

“Namun saya minta mereka untuk reda atas kejadian ini. Tambahan pula, saya juga perlu kuat memandangkan anak ketiga saya yang baharu berusia 54 hari,” katanya.

Adlina Aisyah berkata arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pergi bekerja seperti biasa.

Allahyarham adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa, namun bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Johari.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Bentong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Bentong.

“Kita akan lihat kepada keadaan semasa macam mana, setakat ini perancangan kita adalah bawa balik ke Bentong dan dikebumikan di tanah perkuburan Barak. 

“Saya memang akan tinggal di Kuala Lumpur menunggu maklumat daripada pihak hospital untuk menerima dan menguruskan jenazah,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Agama Islam Raub menerusi hantaran di Facebook rasminya turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Idris atas pemergiannya.

“Kami mendoakan agar Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada kita semua dalam menghadapi pemergian Allahyarham ini. Kami di Pejabat Agama Islam Daerah Raub, bersaksi akan kebaikan Allahyarham selama ini,” menurut hantaran itu.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.

Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang berada di kawasan nahas.

Pesawat itu berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat 2.50 petang namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *