September 19, 2024

KEWUJUDAN Konvensyen Kebajikan Selayang akan membuka jalan atau akses kepada penduduk untuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak. – Gambar Hiasan

Oleh ROHANA MAN

APA perkara pertama calon DUN N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican akan lakukan apabila dilantik sebagai wakil rakyat Kuang?

Persoalan itu mungkin sedang berlegar-legar dalam kotak fikiran penduduk Kuang yang bakal memilih calon paling layak untuk membawa suara mereka ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor nanti.

Sidang DUN Selangor terakhir adalah pada penggal ke-14 tahun 2023, Mac lalu.

Menjawab persoalan penduduk, Hasnal Rezua berkata, perkara pertama yang beliau akan laksanakan apabila dilantik wakil rakyat Kuang adalah mewujudkan Konvensyen Kebajikan Selayang untuk memberi kemudahan kepada rakyat mengetahui tentang bantuan yang boleh mereka mohon dan nikmati.

Menurutnya, pelaksanaan konvensyen itu melibatkan penyertaan semua parti-parti politik termasuk parti pembangkang.

Ini sejajar dengan #TetapSayang yang mana layanan dan bantuan kebajikan akan diberi kepada semua penduduk tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik mereka.

“Saya akan minta semua parti-parti politik menghantar petugas parti masing-masing untuk menjadi ahli konvensyen ini,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama wartawan Malaysia Hot di Command Centre DUN Kuang semalam.

Pada PRN Selangor ini, kerusi DUN N.13 Kuang menjadi rebutan tiga calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional (Hasnal Rezua), calon Perikatan Nasional (PN – Mohd Rafiq Abdullah) dan calon Bebas (Sallehudin Amiruddin).

Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan persaingan sengit berlaku antara calon BN-PH dan calon PN.

Mengulas lanjut, Hasnal Rezua berkata, selesai urusan penyertaan ahli parti-parti politik dalam Konvensyen Kebajikan Selayang, langkah berikutnya adalah mendapatkan semua pemimpin-pemimpin masyarakat dalam DUN Kuang.

“Kemudian…, kita akan dapatkan semua pemimpin masyarakat yang terlibat seperti ketua kampung, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ahli-ahli majlis.

Semuanya akan terlibat dalam pelaksanaan Konvensyen Kebajikan Selayang,” jelasnya.

Hasnal Rezua menambah, semua agensi terlibat akan ‘turun padang’ untuk saling bekerjasama demi menjaga kebajikan rakyat.

“Kita akan bersemuka dengan rakyat dan mereka boleh maklumkan kepada kita bagaimana kaedah dan cara serta apa bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat.

“Untuk tujuan tersebut, kita akan bawa jabatan kebajikan, kita akan bawa lembaga zakat, kita akan bawa Perkeso dan kita akan bawa Baitulmal.

“Kita juga akan bawa pihak selain daripada agensi berkenaan.

“Kita akan bawa pihak swasta dan pihak berwajib yang terlibat dalam menjaga kebajikan rakyat seperti Amanah Ikhtiar, Tekun, Yapim dan Yayasan Bank Rakyat,”ujar calon No 1 DUN N.13 Kuang itu.

Menurutnya, Yayasan Bank Rakyat mempunyai banyak dana tetapi rakyat tidak tahu cara untuk sampai ke yayasan berkenaan.

“Yayasan ini ada mengeluarkan zakat pada setiap tahun, tetapi rakyat tidak tahu nak sampai ke bantuan itu.

“Sebab itulah, konvensyen ini diwujudkan bertujuan untuk memudahkan rakyat mendapat akses atau mencapai kepada bantuan-bantuan yang ada,” kata Ketua UMNO Bahagian Selayang itu.

PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang #BandarTasikPuteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *