DUBLIN, IRELAND – Selebriti, peminat dan orang kenamaan memenuhi jalan di bandar Bray, 20 kilometer dari Dublin, Ireland, semalam (waktu tempatan) bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Sinead O’Connor sebelum dikebumikan.
Beratus-ratus orang berdiri di tepi jalan ketika kereta yang membawa jenazah penyanyi kelahiran Ireland itu melalui bandar tersebut sebelum dikebumikan mengikut syariat Islam.
Presiden Ireland, Michael Higgins dan Perdana Menteri, Leo Varadkar serta penyanyi kumpulan U2, Bono, ialah antara yang menghadiri majlis tersebut.
“Kesedihan dan penghargaan yang diberikan terhadap kehidupan serta kerjaya Sinead O’Connor menunjukkan kesan mendalam yang dia berikan kepada rakyat Ireland,” kata Higgins dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Imam Pusat Islam Ireland, Shaykh Dr. Umar Al-Qadri memimpin solat jenazah O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat pagi semalam.
Penyanyi lagu Nothing Compares 2 U itu menukar namanya pada 2018 selepas memeluk agama Islam.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun bulan lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di London. – AFP