Oleh RAJMAH HASAN
Sallehudin Amiruddin tidak sangka muka baharu dari UMNO dan Bersatu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang.
Bekas ADUN Kuang itu berkata, percaturannya silap apabila Datuk Hasnal Rezua Merican dan Mohd. Rafiq Abdullah dicalonkan bertanding.
“Saya sangka dua parti besar ini (UMNO dan Bersatu) akan calonkan pimpinan tempatan yang terdiri daripada orang kawasan Kuang,” katanya kepada Malaysia Hot semalam.
Beliau mengulas keputusannya untuk bertanding menentang Hasnal Rezua dan Rafiq bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya pada 2018 hingga 2023 (DUN bubar).
Pada 29 Julai lalu, Sallehudin mengejutkan penyokong BN-PH dan PN serta media apabila muncul saat akhir iaitu berbaki 11 minit sebelum penamaan calon ditutup pukul 10 pagi di bangunan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Ditanya siapa calon UMNO dan Bersatu yang diharapkan bertanding kerusi DUN N.13 Kuang, Sallehudin berkata:
“Dulu…, saya dengar UMNO nak letak Ketua Pemuda dan pendapat saya, orang muda perlu diberi peluang.
“Masa itu, saya tunggu dan lihat saja dan mungkin tak masuk (bertanding) jika dia (Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang) dicalonkan.
“Tapi bila PN (Bersatu) pun umumkan calon bukan yang saya harapkan, baharu saya buat keputusan menawarkan diri untuk bertanding”.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang yang dimaksudkan ialah Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, manakala PN pula Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Datuk Azman Yaakob.
Sallehudin berkata, Datuk Azman merupakan pengurus kempennya semasa bertanding kerusi DUN N.13 Kuang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pada PRU-14, Sallehudin yang bertanding atas tiket PKR menang dalam pertandingan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Abdul Shukor Idrus (BN), Mohd. Fauzan Madzlan (PAS) dan Mohd. Rafie Mohammad Arif (PRM).
Beliau kemudian mengumumkan keluar parti kerana tidak bersetuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan kekal sebagai ADUN Bebas.