December 18, 2024

HAMPIR 1,000 orang hadir program ceramah perdana BN-PH di PDM Kampung Kuang malam tadi.

Oleh ROHANA MAN

SEMBILAN hari telah berlalu sejak penamaan calon merebut kerusi DUN N.13 Kuang di bangunan Majlis Perbandaran Selayang, 29 Julai lalu.

Perebutan kerusi itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnal Rezua Merican; Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Abdullah dan Bebas, Sallehudin Amiruddin.

Antara tiga calon tersebut, persaingan sengit hanya melibatkan Hasnal Rezua dan Rafiq.

Manakala Sallehudin seperti tidak mampu menyaingi kehangatan jentera kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 milik BN dan PN.

Kempen sendu Sallehudin ini dibuktikan apabila poster beliau hanya muncul di beberapa jalan di Kuang pada 4 Ogos lalu iaitu seminggu selepas penamaan calon.

Kita abaikan kempen bekas wakil rakyat DUN N.13 Kuang itu kerana ia bukan saingan Hasnal Rezua mahupun Rafiq.

Lagi pun, ‘kehadiran’ Sallehudin sekadar mahu ‘kacau undi’ sahaja.

Justeru, hanya tinggal dua calon sahaja yang akan bersaing sengit pada PRN Selangor Ke-15 merebut kerusi DUN N.13 Kuang pada 12 Ogos ini.

Saingan itu dapat dilihat pada perang poster, ceramah, aktiviti bersama penduduk, ziarah kasih, program menyantuni anak muda dan lain-lain aktiviti.

Tinjauan Malaysia Hot mendapati bendera dan poster pelbagai saiz sudah mula berkibar mewarnai simpang jalan utama dan sepanjang jalan ke kampung.

PN boleh mengukir senyum apabila menang perang poster.

Jumlah bendera dan poster yang banyak tidak mampu disaingi calon lawan.

Rafiq dalam satu ceramah di Kampung Kuang pada Selasa lalu menyatakan PN akan menabur bendera dan poster di seluruh DUN Kuang dalam satu jumlah yang besar.

“Kalau kami dapati bendera BN lebih banyak di satu-satu kawasan, kami (PN) akan pacak dan gantung lagi banyak bendera sehingga mendominasi kawasan tersebut.

“Kami ada stok bendera yang sangat banyak dan boleh dipakai untuk pilihan raya akan datang kelak,” ujarnya.

Di pihak BN pula, satu poster menampilkan wajah calon No. 1 DUN N.13 Kuang, Hasnal Rezua paling awal dipacak di simpang empat jalan utama Kuang.

Lokasi poster itu paling strategik di simpang jalan tersebut.

Ia mudah dilihat jika kita memandu dari Kampung Gombak, Sungai Buloh atau Pinggiran Putra.

Walaupun beberapa hari kemudian, poster Rafiq lebih besar terpampang di simpang empat itu, namun poster Hasnal Rezua menang dari aspek sudut pandangan.

Beberapa penduduk yang ditemui penulis berkata, jumlah bendera PN yang mendominasi DUN Kuang tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menyatakan Rafiq akan menang kerusi DUN N.13 Kuang.

“Bendera memang banyak tapi belum tentu boleh menang,” kata seorang penduduk Kampung Gombak.

Dalam pada itu, kehadiran orang ramai pada program ceramah anjuran Hasnal Rezua lebih ramai berbanding ceramah Rafiq.

Contohnya ceramah Rafiq di Kampung Kuang pada Selasa lalu menerima kehadiran sekitar 100 orang berbanding ceramah perdana calon BN malam tadi di Kampung Kuang yang menjangkau hampir 1,000 orang.

Faktor tersebut boleh memberi tanggapan awal tentang siapakah yang lebih diterima dan dekat di hati pengundi Kuang.

Persaingan sengit juga berlaku dalam merebut jiwa anak muda yang masih tidak matang dalam membuat keputusan memilih calon paling layak mewakili mereka sebagai wakil rakyat.

Masing-masing mempunyai cara bagi menambat hati anak muda memandangkan kebanyakan anak muda di Kuang tidak berada di kampung halaman, sebaliknya menetap di luar Kuang bagi mencari rezeki.

Itu bukanlah masalah bagi kedua-dua calon kerana masing-masing menggunakan kekuatan media sosial untuk mendekati anak muda.

Sungguhpun ada dakwaan menyatakan kempen media sosial Rafiq lebih hebat, namun itu tidak mematahkan semangat Hasnal Rezua untuk terus berjuang memenangi hati anak muda.

Pada awal kempen memang nampak sendu penerimaan anak muda terhadap kempen media sosial Hasnal Rezua.

Namun masuk minggu kedua kempen dan selepas beberapa siri program menyantuni anak muda diadakan, perubahan ketara mula kelihatan.

Rata-rata anak muda yang ditemui mula mengenali Hasnal Rezua.

Ini dapat dilihat pada jumlah like, share dan komen anak muda di saluran media sosial terutama Tik Tok, IG, Twitter dan Facebook milik calon No 1 N.13 Kuang yang semakin semarak dengan komen positif.

Jika momentum ini terus meningkat maka tidak syak lagi bahawa Hasnal Rezua bakal dinobatkan sebagai wakil rakyat Kuang pada 13 Ogos 2023 ini apabila BN-PH mendapat mandat membentuk Kerajaan Negeri Selangor pada 13 Ogos ini.

#PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang

#Kestabilan&Kemakmuran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *