Oleh Lea Azalea
Kalangan media tertanya-tanya kelibat Sallehudin Amiruddin.
Masakan tidak, ketika suhu kempen pilihan raya semakin hangat, beliau kelihatan menyepi.
Sallehudin sepatutnya memberi saingan kepada dua calon lain bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang pada Pilihan Raya Negeri Selangor (PRN) 2023.
Mereka adalah Datuk Hasnal Rezua Merican dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd. Rafiq Abdullah dari Perikatan Nasional (PN).
Sudah seminggu sejak penamaan calon pada 29 Julai lalu, namun tiada liputan kempen untuk Sallehudin.
Timbul persoalan jika bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.13 Kuang itu serius mempertahankan jawatannya.
“Dah la buat gempak hantar kertas penamaan calon last minit, sekarang ni hilang dan menyepi pula,” kata seorang petugas media.
Sallehudin membuat kejutan apabila bertanding semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Kuang sebagai calon Bebas di kawasan itu.
Beliau menghantar borang pencalonan pada 9.49 pagi iaitu berbaki 11 minit sahaja lagi sebelum pencalonan ditutup di bangunan Majlis Perbandaran Selayang.
Sebelum ini, Sallehuddin adalah muka baru yang dicalonkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding kerusi DUN N.13 Kuang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
Beliau mengejutkan ramai pihak setelah menang dalam pertandingan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Abdul Shukor Idrus (BN), Mohd. Fauzan Madzlan (PAS) dan Mohd. Rafie Mohammad Arif (PRM).
Beliau kemudian mengumumkan keluar parti kerana tidak bersetuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Selepas itu, Sallehuddin dilaporkan menyertai parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan menjadi Jawatankuasa Penaja Parti.
Dengan pencalonan Sallehuddin, DUN N.13 Kuang pada PRN Selangor ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru menentang Hasnal Rezua dan Rafiq.
Sallehudin tidak seperti dua calon itu yang giat mengadakan program ziarah kasih, walkabout, lawatan, singgah santai dan gotong royong untuk mendekati penduduk setempat.
Malah tiada juga logo bendera parti Bebas dipacak di tepi-tepi jalan, sedangkan pihak lawan sudah melancarkan ‘perang’ bendera sejak seminggu lalu.
Hasil tinjauan Malaysia Hot, hanya ada poster wajah Sallehudin diletakkan jalan utama simpang empat Kampung Damai sebagai syarat menunjukkan dia calon bertanding.
Adakah Sallehudin berasakan tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan beliau adalah bekas ADUN Kuang?
Mengapa begitu yakin penduduk Kuang masih mahu beliau berkhidmat lagi untuk mereka?
Paling penting, apa tujuan utama Sallehudin kembali mempertahankan jawatan, sedangkan beliau tahu had kemampuan tanpa dipayungi parti yang kukuh?
Masih ramai tidak tahu siapa sebenarnya Sallehudin dan maklumat penglibatan beliau dalam politik juga terhad dalam mana-mana pautan pencarian.