December 18, 2024

Oleh Fatima

JIKA kita amati cara gerak kerja Perikatan Nasional (PN) berkempen, mereka seolah-olah menipu rakyat kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu ini bakal mengubah Kerajaan Persekutuan.

Propaganda ini jelas menipu rakyat. Hakikatnya PRN 6 negeri ini sekadar memberi kesan kepada negeri-negeri yang terlibat sahaja. Ianya langsung tidak ada kaitan dengan kerajaan Persekutuan. Namun jika kerajaan negeri yang terbentuk tidak selari dengan kerajaan persekutuan, ianya akan memberi kesan dari segi pentadbiran dan sebagainya.

Dalam berkempen di negeri masing-masing, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa dilihat cuba mempolemikkan isu keluar parti sedangkan itu adalah hak masing-masing. Kenyataan beliau bahawa ramai kalangan pemimpin dan ahli Umno akan meninggalkan parti itu bertujuan mengucar-kacirkan dan ingin mengalihkan tumpuan kempen.

Alhamdulillah, peletakan jawatan dan langkah meninggalkan parti secara beramai-ramai tersebut tidak merencatkan semangat perjuangan ahli Umno yang lain untuk terus setia. UMNO akan terus istiqamah menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.

Semalam sejumlah ahli Umno Ketereh termasuk ketua pemudanya, Afiq Amani Annuar mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu untuk menyokong PN. Selain Afiq Amani yang juga anak Annuar Musa, turut meninggalkan Umno ialah ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Cabang Tiga Haji Musa. 

Jawatan ketua Pemuda Umno Ketereh kini dipangku naib ketua pemuda bahagian itu Azhan Ishak.

Kelantan diperintah oleh Kerajaan PAS lebih dari 30 tahun namun negeri tersebut tetap mundur, indeks jenayah antara tertinggi, malah kadar HIV juga paling tinggi di Malaysia. Kedai arak dan judi masih berleluasa di negeri serambi Mekah tersebut. Hudud tidak dilaksanakan. Kerajaan Islam tidak tertubuh pun. Oleh itu, atas alasan apa lagi rakyat Kelantan perlu mengundi PAS. Islam bukan hak milik mutlak PAS kerana parti tersebut hanya “menunggang” agama untuk menipu penyokong mereka.

PAS perlu bertaubat kerana “menunggang” agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *