September 19, 2024

Datuk Hasnal Rezua Merican dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bergambar kenangan dengan sebahagian jentera pilihan raya BN-PH di Kampung Setia, Kuang petang tadi.

Oleh ROHANA MAN

KUANG – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dicemari dengan tindak tanduk calon Perikatan Nasional (PN) yang berbohong mengatakan jika menang di enam negeri maka kerajaan pusat akan jatuh ke tangan mereka.

Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu program santai yang diadakan di Kampung Setia petang tadi, berkata, calon PN menyebarkan maklumat tidak benar dalam ceramah yang diadakan di kawasan yang ditandingi.

“Dia (PN) kata, PRN kali ini akan menentukan kerajaan pusat.

“Apa berlaku jika enam negeri jatuh. Katanya, kerajaan pusat akan turut jatuh.

“Ini satu pembohongan. Apa kaitan pusat dengan negeri. Pusat dah selesai.

“Apa berlaku di peringkat negeri tidak akan beri kesan kepada kerajaan pusat melainkan PN nak curi ahli Parlimen yang ada. Nak bayar ahli Parlimen yang ada…,” katanya kepada Malaysia Hot.

Turut hadir, calon BN DUN N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Ketua Wanita PKR Cabang Selayang, Salasiah Desa.

Asyraf menambah:

“Sebab apa saya kata nak bayar…, sebab ahli Parlimen BN dah tanda tangan perjanjian aku janji.

“Kalau ada sesiapa yang nak lompat parti, dia kena bayar RM100 juta.

“Kalau PKR…calon yang belot kena bayar RM10 juta. Dah ada kes pun. Zuraida kena bayar RM10 juta kepada PKR sebab lompat parti.”

Asyraf berkata, PN angkuh kerana yakin boleh mencuri ahli Parlimen UMNO dan boleh bayar ahli Parlimen PKR.

“Yang tolak (pembentukan Kerajaan Perpaduan) siapa?. Yang tolak PN.

“Sebab apa dia tolak. Sebab dia masih angkuh. Dia ingat dia boleh curi ahli Parlimen UMNO…dia ingat dia boleh bayar ahli Parlimen PKR.”

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun lalu memerintahkan Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata UMNO sudah memutuskan supaya calon BN yang lompat parti akan dikenakan RM100 juta.

“Kalau 10 ahli Parlimen BN lompat parti maka sebanyak RM1 bilion akan dibayar.

“Kita sudahlah tak ada duit. Nak gerakkan Jalinan Rakyat (JR) pun…belum dapat bayaran. Kita tak semewah dahulu,” tambahnya yang kesal kerana calon PN sanggup berbohong demi meraih kemenangan.

Sehubungan itu, katanya, gabungan BN-PH perlu menang di Selangor kerana kemenangan itu akan memberi peluang kepada BN untuk menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan negeri yang akan dibentuk kelak.

“PRN Selangor kali ini sangat penting. Kita mesti menang dan selepas menang, ini peluang kita untuk jadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Kita boleh bersama rakan-rakan dalam PH untuk membentuk kerajaan negeri. Saya percaya gabungan BN dan PH akan memberikan natijah yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.

PN meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 245 kerusi DUN sempena PRN di enam negeri iaitu Selangor (56 kerusi), Negeri Sembilan (36 kerusi), Terengganu (32 kerusi), Kelantan (45 kerusi), Kedah (36 kerusi) dan Pulau Pinang (40 kerusi) pada 12 Ogos ini.

Kerajaan pusat sekarang adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada November tahun lalu dan dianggotai gabungan Barisan Nasional (BN 30 kerusi), Pakatan Harapan (PH 82 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (GPS 23 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (GRS enam kerusi), Warisan (tiga kerusi), bebas (dua kerusi) dan masing-masing satu kerusi, PBM (Parti Bangsa Malaysia) dan KDM (Kesejahteraan Demokratik Malaysia).

PRN15 #PRNSelangor #Kuang #N13 #TetapSayang #HRM #Perpaduanready #kitaselangor #DemiKestabilan #DemiKemakmuran #Hasnal #HasnalKuang #CalonNo1 #HasnalSatu #HRM1 #SuaraKuang #KuangKuSayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *