September 19, 2024

HASNAL REZUA MERICAN tidak perlu tunduk pada desakan pihak tertentu untuk meletak jawatan Pesuruhjaya Suhakam.

Oleh ROHANA MAN

SEJAK Datuk Hasnal Rezua Merican diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi DUN N.13 Kuang, kritikan dan desakan beliau meletak jawatan sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mula kedengaran.

Paling lantang bersuara mendesak Ketua UMNO Bahagian Selayang 2023-2026 itu ialah CSO Platform for Reform iaitu sebuah gabungan mengandungi lebih 60 pertubuhan masyarakat sivil di negara ini.

Pihak lain yang turut menyuarakan desakan supaya Hasnal Rezua meletak jawatan ialah bekas Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph.

Alasan yang dilontarkan adalah untuk memastikan Suhakam bebas daripada politik dan bimbang terhadap keupayaan Suhakam berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.

CSO Platform dalam satu kenyataan menyebut kemasukan pemimpin politik dalam Suhakam mencetuskan kebimbangan bahawa fungsi suruhanjaya itu mungkin terjejas.

Sejauh mana kebimbangan itu berasas?

Sebagai seorang profesional dan berpengalaman luas dalam bidang guaman sebagai peguambela dan peguamcara selama hampir 30 tahun, Hasnal Rezua tidak akan sewenang-wenangnya mengorbankan profesionalisme yang dimiliki dalam membuat keputusan berkaitan Suhakam.

Hasnal Rezua menegaskan kerjayanya dalam bidang guaman membantunya menimba pengalaman yang luas dalam hak asasi manusia.

“Saya bukan ahli politik sepenuh masa, sebaliknya peguam cara dan peguam bela selama 30 tahun. Saya ada pengalaman luas dalam hak asasi manusia.

“Kenapa rasa saya tak layak duduk di situ (Pesuruhjaya Suhakam).

“Jangan kita mengecualikan orang yang layak hanya kerana kita rasa Suhakam ini sepatutnya berfungsi mengikut cara kamu bayangkan sahaja,” katanya dipetik daripada satu laporan media tempatan yang memintanya mengulas isu tersebut, baru-baru ini.

Hasil penelitian penulis, terdapat lima perkara yang membolehkan Hasnal Rezua terus kekal menyandang jawatan Pesuruhjaya Suhakam.

  1. Pelantikan Hasnal Rezua sebagai Pesuruhjaya Suhakam adalah perkenan Yang Di-Pertuan Agong setelah disyorkan oleh Perdana Menteri.

Jadi, biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan sama ada meletak jawatan atau tidak. Setakat hari ini, tiada keputusan dibuat di pejabat Perdana Menteri.

  1. Jawatan Pesuruhjaya Suhakam bukanlah suatu jawatan berpendapatan (tiada gaji) mengikut takrifan undang-undang.

Justeru, ia tidak menghilangkan kelayakan Hasnal Rezua untuk bertanding di dalam PRN15.

  1. Parlimen telah mengiktiraf bahawa mereka yang berlatarbelakangkan politik tidak terkecuali daripada menjadi seseorang yang boleh mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara hak asasi manusia.

Justeru, perjawatan politik semata-mata tidak boleh menjadi asas kepada dakwaan bahawa Suhakam akan kehilangan kebebasan dan kesaksamaan atau wujudnya situasi atau potensi berlakunya konflik kepentingan.

  1. Pihak yang mendesak perlu melihat Seksyen 5 (3) Akta Suhakam 1999 yang menyebut anggota suruhanjaya hendaklah dalam kalangan seseorang daripada latar belakang agama, politik dan berpengalaman dalam isu melibatkan hak asasi manusia.

Kesemua latar belakang itu ada pada Hasnal Rezua. Jadi, buat apa nak letak jawatan jika pengalaman itu boleh dikongsi dengan seluruh masyarakat.

  1. Pada Ogos tahun lalu, Pesuruhjaya Suhakam, Ragunath Kesavan menjelaskan tiada halangan mana-mana individu mempunyai kaitan politik menyertai suruhanjaya itu.

Untuk makluman, terdapat sembilan individu dilantik sebagai Pesuruhjaya Suhakam (2022-2025) termasuk Hasnal Rezua dan Ragunath.

Justeru, jika tiada halangan, tidak perlulah individu yang telah dilantik meletak jawatan semata-mata mahu memuaskan hati segelintir pihak yang mungkin berkepentingan sendiri dalam membuat desakan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *