December 18, 2024

MASALAH strata rumah bertingkat masih belum selesai di Kuang.

Oleh ROHANA MAN

KUANG – Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Yang penting kita perlu berusaha, berikhtiar dan berdoa.

Begitu juga masalah penduduk tempatan di Kuang. Kenal pasti masalah dan mohon bantuan kepada pihak yang betul.

Menyedari masalah penduduk yang tiada kesudahannya, calon DUN N.13 Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican menawarkan diri membantu penduduk menyelesaikan masalah yang dihadapi kini.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon DUN N.13 Kuang di Bandar Tasik Puteri baru-baru ini, beliau memaklumkan lebih banyak masalah penduduk dalam DUN Kuang akan diselesaikan sekiranya mandat kerusi DUN N.13 Kuang menjadi milik Barisan Nasional (BN).

“InsyaAllah, banyak lagi masalah dapat diselesaikan bila saya jadi wakil rakyat nanti,” katanya.

Pada majlis itu, Hasnal Rezua mengumumkan permohonan pembinaan sebuah dewan orang ramai daripada penduduk Bandar Tasik Puteri telahpun diluluskan kerajaan negeri.

“Saya nak umumkan bahawa Menteri Besar Selangor telah luluskan permohonan penduduk untuk membina sebuah dewan orang ramai di Bandar Tasik Puteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jika kerajaan perpaduan BN-PH kekal dan calon BN jadi wakil rakyat, masalah kekurangan dewan orang ramai akan segera diatasi.

“InsyaAllah…banyak lagi masalah lain dapat diselesaikan,” katanya.

Hasnal Rezua berkata, masalah lain yang akan beliau fokus adalah masalah strata dan geran tanah.

Menurutnya, bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan wang ringgit.

Justeru, pihaknya akan memperjuangkan agar pembayaran proses permohonan strata dibuat secara berperingkat.

“Jadi, penduduk kena pilih ADUN yang sealiran dengan kerajaan negeri.

“Ia akan lebih memudahkan kerja,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *