November 17, 2024

OLEH FATIMA

PENAMAAN calon pilihanraya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah selesai. Kini tumpuan diberi kepada kerusi-kerusi yang dianggap “panas” berikutan pertembungan nama-nama besar, selain dikaitkan dengan pelbagai isu serta kontroversi.

Kerusi panas di Selangor tertumpu pada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Gombak iaitu Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua. Ia boleh dianggap medan pertempuran utama pada PRN kali ini kerana nama besar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan Barisan Nasional (PH-BN) bertembung lawan masing-masing.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan bertanding di DUN Hulu Kelang berdepan cabaran bekas anak buahnya mewakili Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin pula menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam usaha mempertahankan DUN Sungai Tua, menentang Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mencabar penyandang kerusi DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham daripada PN serta calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali. Sebagaimana yang kita tahu, Hilman berhadapan dengan banyak skandal yang mungkin mengugat peluang beliau untuk menang.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun menguji nasib di DUN Batu Tiga, berdepan calon PH, Danial Al-Rashid dan calon MUDA, Cheda Razak walaupun beliau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Nampaknya kekalahan tersebut tidak melemahkan semangat Rina.

Menurut penganalisis politik, Selangor akan tetap dimiliki oleh gabungan PH-BN dalam PRN15 ini. Apa yang pasti, kerusi-kerusi panas ini bakal menguji kemampuan sebenar calon.Kita tunggu dan lihat keputusan pada 12 Ogos 2023 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *