December 18, 2024

Oleh LILY JASMINE

SETIAP calon memiliki kelebihan yang mampu menarik pengundi untuk memilih mereka sebagai wakil rakyat.

Tanpa faktor ‘woww’ yang ada pada diri, tentunya mereka tidak dipilih sebagai calon.

Bukan mudah bagi pucuk pimpinan tertinggi parti memutuskan siapa paling layak menjadi calon.

Ini kerana keputusan akhir pertandingan boleh menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri.

Itulah senario yang berlaku dalam pemilihan calon bagi DUN N.13 Kuang.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan kewibawaan seorang profesional dalam bidang guaman, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, 53, sebagai calon.

Kelebihan ketara milik Hasnal Rezua adalah beliau merupakan anak tempatan yang lebih mengetahui dan memahami keluh resah warga Kuang.

Hasnal Rezua berada dalam kelompok penduduk dan lebih dekat dengan mereka, sekali gus lebih cepat mengetahui permasalahan yang dihadapi penduduk.

Kelebihan itu tidak ada pada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

Beliau bukan anak tempatan dan merupakan orang luar yang tiba-tiba muncul menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat Kuang.

Agak janggal kerana Rafiq yang menetap di Sungai Buloh mahu mewakili penduduk Kuang.

Timbul persoalan kenapa pucuk tertinggi PN memilih calon luar untuk bertanding?

Sedangkan calon anak tempatan, Datuk Azman Yaakob yang juga Ketua Bersatu Bahagian Selayang lebih layak masuk gelanggang pertandingan.

Memetik satu laporan media yang disiarkan awal Julai lalu, Azman mampu menang kerana mempunyai pengaruh dan sokongan akar umbi yang kuat.

Rentetan daripada perkara itu, kini muncul dua puak dalam kalangan pengundi PN iaitu puak Rafiq dan puak Azman.

Perpecahan tersebut memberi kelebihan kepada Hasnal Rezua yang menerima sokongan penuh akar umbi BN.

Justeru, tidak perlu bersusah payah untuk merapatkan saf, sebagaimana yang perlu dilakukan calon PN.

Selain itu, penduduk tempatan lebih mengenali calon BN sebagai peguam bela dan peguam cara yang mudah didekati dan sentiasa menghulurkan bantuan guaman.

Malah selaku Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2022-2025, Hasnal Rezua mampu membela nasib rakyat yang teraniaya.

Kesemua faktor ‘woww’ itu tidak ada pada Rafiq.

Dalam pada itu, jawatan Hasnal Rezua sebagai Ketua UMNO Bahagian Selayang 2023-2026 turut memberi kelebihan.

Ini dapat dilihat pada program yang dilaksanakan dalam menyantuni penduduk tempatan yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan dalam Parlimen Selayang.

Telah banyak program ziarah yang dianjurkan bagi menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada penduduk tempatan.

Apa pula kelebihan Rafiq? Beliau mungkin seorang kontraktor yang berjaya tetapi adakah kerjaya itu dapat digunakan untuk membantu penduduk.

Beliau sekadar Ketua Bersatu Bahagian Sungai Buloh, bukannya Kuang.

Pelik pula orang luar jadi wakil rakyat kawasan dan faktor ini dikatakan menjadi faktor penolak pengundi Kuang.

Apa pula cerita Sallehudin Amiruddin? Merajuk hati selepas keluar dari Bersatu sehingga mendorongnya bertanding atas tiket bebas.

Tanpa sokongan kewangan yang padu, tentulah sukar untuk beliau menggerakkan jentera pilihan raya.

Jadi, apa yang beliau mampu tawarkan kepada penduduk?

Tiada satupun kelebihan yang beliau tonjolkan, sekadar mahu menempel untuk pecah undi penyokong PN. Jika begitu, terima kasih Sallehudin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *